Dua Pelajar UPM Cipta ‘Mini Pot’, Ajak Generasi Muda Tanam Sendiri & Kurangkan Sisa Makanan
Admin suka idea ni, mesra alam!
Cover image via Sinar BestariFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Menanam sendiri bukan lagi sekadar hobi, ia kini jadi strategi hidup untuk masa depan yang lebih lestari
Dengan populasi bandar semakin meningkat dan pergantungan terhadap bekalan makanan luar yang tinggi, dua pelajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini tampil dengan idea kreatif untuk menggalakkan pertanian di rumah.
Menurut laporan Sinar Bestari, dua pelajar Tahun 2, Bacelor Teknologi Pertanian Pintar, Fakulti Pertanian UPM iaitu Yap Zhan How dan Teng Hao Wen telah mencipta Mini Pot, kit tanaman lengkap yang sesuai untuk ruang kediaman yang kecil.
Produk itu dibangunkan di bawah jenama Vermacres dengan misi untuk menjadikan amalan bercucuk tanam lebih mudah, menyeronokkan dan mesra alam.

Mini Pot bukan sekadar pasu biasa, ia didatangi sekali dengan Cocopeat & vermicompos sebagai media tanaman semula jadi
Benih empat jenis tumbuhan pilihan yang ada fungsi unik masing-masing:
- Lavender – aroma yang menenangkan & menyegarkan.
- Cat grass – baik untuk sistem penghadaman kucing.
- Gypsophila – bunga cantik untuk hiasan atau hadiah.
- Mosquito repellent grass – halau serangga secara semula jadi.
Bukan itu saja, setiap Mini Pot turut dilengkapi kod QR yang membawa pengguna ke tutorial menanam, panduan penjagaan dan komuniti atas talian untuk berkongsi perkembangan tanaman serta bertanya soalan.
"Kami mahu hasilkan produk yang bukan sahaja memudahkan orang ramai bercucuk tanam dalam ruang terhad, tetapi untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya amalan hijau.
"Mini Pot direka sebagai titik permulaan yang mudah, mesra pengguna dan sesuai untuk semua peringkat," kata Zhan How.

Guna sisa makanan untuk baja organik
Lebih menarik lagi, baja yang digunakan dalam Mini Pot dihasilkan melalui proses vermicomposting iaitu penguraian sisa makanan seperti sayur dan buah menggunakan cacing African Night Crawlers.
Menurut Hao Wen, kaedah ini bukan sahaja menghasilkan baja organik yang berkualiti tinggi, tetapi juga mengurangkan pembaziran makanan harian.
"Vermikompos membekalkan nutrien semula jadi kepada tanaman dan menyuburkan tanah dengan cara yang selamat dan efektif," jelasnya.
Difahamkan, proses membangunkan Mini Pot bukanlah mudah

Mereka berdepan pelbagai cabaran seperti kekangan kewangan, penyelenggaraan cacing yang sensitif terhadap suhu, dan juga halangan dari segi pemasaran kerana semua proses dijalankan sendiri oleh mereka berdua.
Namun, semangat mereka tidak pernah luntur. Zhan How dan Hao Wen percaya Mini Pot mampu mengubah cara masyarakat melihat pertanian dan menggalakkan lebih ramai orang untuk menanam sendiri sambil mengurangkan sisa makanan.
"Kami mahu Mini Pot jadi titik permulaan untuk gaya hidup hijau yang lebih lestari, terutama bagi mereka yang tinggal di bandar dengan ruang terhad," kata Zhan How.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



