Peserta MSSD Kecewa Medalnya Ditarik Balik, Dituduh Naik Kenderaan Ketika Merentas Desa
Kejadian difahamkan berlaku di Kejohanan Merentas Desa MSSD Semporna, Sabah.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang peserta Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Semporna, Sabah dirudung malang apabila pencapaiannya sebagai naib johan ditarik balik
Keputusan kontroversi itu berlaku disebabkan terdapat tuduhan bahawa peserta tersebut telah menaiki kenderaan walaupun tiada bukti berbentuk gambar dan video.
Menerusi perkongsian Mukmin Nantang di Facebook, dia menyuarakan tentangannya kepada pihak pengadil yang telah mengumumkan keputusan tersebut yang tidak menyebelahi atlet jagaannya itu.
"Saya sebagai jurulatih juga terkejut dengan keputusan ini dan datang membuat perbincangan dengan pihak pengurusan. Kami mahukan penjelasan yang konkrit tentang hal ini. Tuduhan ini sangat jahat dan boleh menjatuhan moral atlet yang dituduh.
"Pihak pengadil (yang juga seorang guru) kata tidak ada bukti gambar dan video. Mereka cuma ambil permakluman dari 3 orang peserta. Kami terkejut dengan jawapan itu. Bagaimana jika 3 orang tersebut bersubahat menjatuhkan atlet tersebut," tulisnya.
Image via Facebook
Pengadil tidak mahu ubah keputusan walaupun ada bukti atlet terbabit menamatkan lariannya secara penuh
Tambahnya, bukti larian penuh dilakukan oleh atlet jagaan ada apabila atlet berkenaan memakai jam tangan Garmin yang merekod dan menganalisis lariannya.
"Dia juga pakai jam tangan Garmin. Semua analisis lariannya ada dirakamkan dalam jam tersebut. Jarak kilometer semua cukup, masa larian, degupan jantung, elevation, candance dan stride semua telah terakam. Jika atlet tersebut menaiki kenderaan pasti dapat dibaca melalui aplikasi Garmin. Analisis larian menjadi pelik.
"Belum pernah lagi saya tahu analisis dari maps garmin boleh dimanipulasi. Ini jam yang dipakai oleh ramai atlet termasuk tentera, polis dan individu-individu dalam dunia 'outdoor' untuk tujuan membaca maps dan analisis pengerakan dengan tepat. Kami juga ingin membawakan bukti dari peserta yang lain yang lari bersama atlit tersebut.
"Pengadil tidak mahu terima apa pun yang kami ingin sampaikan dan seperti tidak mahu kalah malu kerana keputusan telah dibuat. Mereka sudah terlanjur beri pingat itu kepada orang lain. Dia cuba tegakkan benang yang basah dan tetap ego dengan keputusannya. Kerana keputusan ini sangat mengarut dan tidak masuk akal. Saya terus mengatakan akan membuat laporan terhadap keputusan ini," tambahnya.
Pihak pengadil meminta atlet jagaannya berlari sendiri untuk membuktikan dia tidak menipu
Hasil bantahan, akhirnya satu ujian larian untuk pemenang tempat kedua sehingga tempat keenam diarah dilakukan untuk membuktikan atlet jagaannya tidak bersalah tetapi perkara yang lebih pelik berlaku kemudiannya.
"Akan dibuat satu ujian larian kepada pemenang tempat kedua sehingga tempat keenam untuk membuktikan atlet saya tidak salah dan akan dipilih lima orang saja ke peringkat negeri. Atlet saya setuju untuk lawan.
"Tiba-tiba mesyuarat Ahad malam, pihak pengadil dan wakil PPD hanya meminta atlet saya lari sendiri saja. Mengikut lalu merentas desa. Bawah 15 tahun lelaki, lari 9.2 km dengan jalan berbukit-bukit. Dia harus mencapai masa yang ditetapkan. Seriuslah? Kenapa harus lari sendiri-sendiri pula?
"Ini sebuah pembulian terhadap atlet tersebut. Adakah pengadil dan peserta yang buat bantahan takut? Kalau benar, lawan lah! Saya jadi ragu terhadap keputusan pengadil yang berubah-rubah ikut suka hati. Apa agenda mereka sebenarnya? Ini jelas tidakan yang tidak adil dan salah guna kuasa," tulisnya.
Menurutnya, dia sedia untuk tampil dan bertanggungjawab ke atas apa yang telah dikongsikan disamping berharap ada pihak yang telus dalam membuat siasatan terhadap isu pendidikan dan sukan di daerah Semporna.
Lihat perkongsian penuh di sini:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik


Cover image via