Dilema Ibu Bapa: Taska Atau Pengasuh, Mana Lebih Baik Untuk Anak?
Apa-apa pun sebelum buat pilihan, pastikan taska atau pengasuh itu sudah berdaftar.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Setiap ibu bapa pasti mahu yang terbaik untuk anak mereka, terutamanya bila tiba masa untuk kembali bekerja dan perlu memilih antara menghantar anak ke taska atau pengasuh
Walaupun ia nampak seperti keputusan yang kecil, tetapi hakikatnya ia boleh beri kesan besar terhadap perkembangan dan keselamatan anak.
Menurut laporan Berita Harian, Penyelaras Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pendidikan UiTM Puncak Alam, Dr Fatin Aliana Mohd Radzi berkata, kedua-dua pilihan itu mempunyai kelebihan dan kekurangannya.
Katanya, ibu bapa di bandar biasanya memilih taska, terutama yang terletak di kawasan pejabat, manakala keluarga luar bandar atau yang berpendapatan sederhana lebih cenderung kepada pengasuh kerana kos lebih rendah dan mudah diakses.

Taska: Lebih tersusun, tapi kos tinggi
"Statistik rasmi mungkin berbeza mengikut negeri dan kawasan, tetapi secara purata, lebih ramai ibu bapa kini cenderung kepada taska berdaftar atas faktor keselamatan dan perkembangan anak.
"Antara kelebihan taska adalah menawarkan persekitaran pembelajaran awal yang lebih tersusun dengan aktiviti dirancang mengikut tahap perkembangan kanak-kanak dapat dan dapat merangsang aspek kognitif, bahasa dan sosial mereka.
"Melalui interaksi bersama rakan sebaya, anak-anak belajar berkongsi, menunggu giliran dan bekerjasama, sekali gus memperkukuh kemahiran sosial sejak usia muda. Selain itu, rutin harian di taska membantu anak membina disiplin serta kestabilan emosi.
"Kebanyakan taska juga dikendalikan tenaga pengajar terlatih dalam pendidikan awal kanak-kanak, yang diwajibkan mengikuti kursus asas PERMATA sebelum dibenarkan mengajar," katanya.
Namun, jika jumlah murid terlalu ramai, perhatian individu boleh terjejas. Risiko jangkitan juga lebih tinggi. Tambahan pula, yuran taska berkualiti boleh jadi agak tinggi bagi sesetengah keluarga.
Pengasuh: Lebih peribadi, tapi kurang rangsangan pembelajaran
Pengasuh pula sesuai untuk anak kecil yang perlukan perhatian lebih khusus dalam suasana rumah yang tenang. Anak yang pemalu atau belum bersedia berada dalam kumpulan besar biasanya lebih selesa dengan pengasuh.
Cuma, bukan semua pengasuh terlatih atau mampu sediakan aktiviti pendidikan sesuai. Ini boleh menyebabkan stimulasi pembelajaran terhad, dan jika pengasuh tidak berdaftar, risiko keselamatan juga lebih tinggi.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Parenthood Magazine MalaysiaApa ibu bapa perlu lakukan sebelum buat pilihan?
Dr Fatin menasihatkan ibu bapa supaya melawat tempat penjagaan terlebih dahulu, semak lesen dan kelayakan penjaga, serta bandingkan pilihan dengan teliti.
Secara umum, pengasuh lebih sesuai untuk bayi bawah dua tahun, manakala taska sesuai untuk anak berusia dua hingga empat tahun yang sudah mula suka berinteraksi dan bermain dengan rakan sebaya.
Akhirnya, tiada pilihan yang 'salah'. Yang penting, anak membesar dalam suasana selamat, bersih dan penuh kasih sayang kerana itu asas utama kepada perkembangan awal yang sihat.
Tips memilih pengasuh:
1. Selidik dan ketahui latar belakang pengasuh. Pastikan dia tahu mengasuh, menukar lampin, membuat susu anak serta tahu mengendalikan anak menangis.
2. Ambil pandangan dan saranan daripada orang yang dipercaya serta jumpa dan berkenalan terlebih dulu dengan pengasuh.
3. Pastikan persekitaran rumah pengasuh bersih dan selamat.
4. Pilih pengasuh yang tidak mengasuh anak ramai kerana menguruskan anak kecil serentak bukan mudah.
5. Bina hubungan baik dengan pengasuh.
Tips memilih taska:
1. Pastikan taska itu berdaftar.
2. Buat carian di internet.
3. Hubungi taska yang sudah disenarai pendek.
4. Buat lawatan ke taska itu.
5. Pastikan yuran menepati bajet.
6. Ketahui aktiviti diadakan di taska itu.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 