Cantik Tapi Berisiko Tinggi, Ini 10 Gunung Paling Bahaya Di Dunia & Ramai Yang Terkorban

Sebalik keindahan gunung ada sisi gelap yang tersimpan.

Enlarge text
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Gunung bukan sahaja memikat pandangan dengan panorama indah di puncaknya, ada yang dilitupi salji putih bak permadani alam, ada juga yang menampilkan kehijauan hutan pergunungan memukau

Namun, di sebalik keindahan itu, gunung turut menyimpan sisi gelapnya yang menjadi saksi bisu kepada ribuan kisah tragis pendaki terkorban akibat cabaran alam semula jadi yang tidak terduga.

Sesetengah gunung terkenal kerana laluan pendakian sukar, cuaca ekstrem yang berubah tanpa amaran, jurang curam yang mengancam nyawa serta risiko runtuhan salji atau batu

Ada yang digelar 'gunung maut' kerana jumlah korban yang tinggi, menjadikannya antara destinasi paling digeruni walaupun tetap menjadi rebutan pencinta cabaran.

Namun begitu, tidak semua gunung berbahaya terletak pada altitud melebihi 8,000 meter.

Ada juga puncak dengan ketinggian antara 4,000 hingga 6,000 meter merekodkan jumlah korban lebih tinggi, disebabkan faktor cuaca yang ekstrem, cerun curam berbahaya serta laluan pendakian yang sukar dijangka.

SAYS.com
Image via Chogori Adventure

Berikut disenaraikan antara gunung yang terkenal dengan cabaran tersebut:


1. Gunung Everest, antara sempadan Nepal dan China (8,848 m)

Gunung Everest sering dianggap sebagai cabaran pendakian paling getir kerana statusnya sebagai puncak tertinggi dunia.

Namun, menurut Altezza Travel, kadar kematian di gunung ini kini menurun kepada sekitar satu hingga 3.29 peratus, berbanding era awal pendakian yang pernah mencecah sehingga 14.5 peratus.

Meskipun kadar tersebut berkurang, ancamannya tetap menggerunkan. Pendaki berdepan suhu ekstrem serendah -60 darjah Celsius, tiupan angin kencang, serta risiko di kawasan dikenali sebagai Zon Maut pada altitud 8,000 meter.

Selain itu, bahagian berbahaya seperti Khumbu Icefall dan Hillary Step menuntut kepakaran teknikal yang tinggi, menjadikan Everest tetap sinonim dengan pendakian penuh risiko.

SAYS.com
Image via Bernama

 2. Gunung K2, sempadan Pakistan dan China (8,611 m)

Gunung K2 yang juga digelar Savage Mountain kerana kecuraman, cuaca yang tidak menentu serta laluan berisiko tinggi seperti Bottleneck, sering dianggap lebih mencabar berbanding Everest.

Gunung ini pernah merekodkan kadar kematian setinggi 25 peratus, sebelum menurun kepada 13.7 peratus pada tahun 2024.

SAYS.com
Image via Wikipedia

3. Gunung Kangchenjunga, sempadan India dan Nepal (8,568 m)

Gunung ketiga tertinggi dunia ini direkodkan sebagai antara yang paling berbahaya dengan kadar kematian mencecah 15 hingga 22 peratus.

Faktor utama menyumbang kepada statistik itu termasuklah cuaca ekstrem yang sukar dijangka, ancaman runtuhan salji, cerun curam yang menguji ketahanan pendaki serta lokasi terpencil menjadikan usaha menyelamat amat mencabar.

SAYS.com
Image via Reuters

4. Gunung Makalu, Nepal (8,485 m)

Makalu, yang terletak di timur Nepal, tersenarai antara gunung paling mencabar dengan kadar kematian antara 13 hingga 14 peratus.

Sejak 1955, lebih 30 nyawa terkorban di puncak ini, kebanyakannya akibat cuaca ekstrem tidak menentu, laluan teknikal yang curam, tiupan angin beku serta ancaman runtuhan salji yang sukar dijangka.

SAYS.com
Image via Wikipedia

5. Gunung Dhaulagiri, Nepal (8,167 m)

Gunung Dhaulagiri, salah satu puncak megah Himalaya, merekodkan kadar kematian antara 13 hingga 21 peratus sejak 1960, dengan korban dianggarkan antara 70 hingga 140 pendaki.

Faktor utama tragedi di gunung ini ialah cerun yang curam, altitud melampau, runtuhan salji serta cuaca yang sukar dijangka, menjadikannya antara destinasi pendakian paling berbahaya di dunia.

SAYS.com
Image via AFP via Getty

6. Gunung Manaslu, Nepal (8,163 m)

Gunung Manaslu adalah salah satu gunung tertinggi dunia dan telah meragut lebih 65 nyawa, termasuk 11 pendaki dalam tragedi runtuhan salji pada 2012.

Ancaman utama di puncak ini berpunca daripada risiko runtuhan salji yang kerap serta penyakit ketinggian, menjadikannya medan pendakian yang penuh bahaya dan tidak dapat diramal.

SAYS.com
Image via Klook

7. Gunung Nanga Parbat, Pakistan (8,126 m)

Digelar sebagai 'Gunung Pembunuh', Nanga Parbat tersohor dengan Rupal Face, dinding batu dan ais terbesar di dunia yang menjulang hampir 5,000 meter.

Gunung ini telah meragut lebih 60 nyawa, sama ada sebelum mahupun selepas kejayaan pendakian pertama yang direkodkan oleh Hermann Buhl pada tahun 1953, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara puncak paling berbahaya di dunia.

SAYS.com
Image via Wikimedia

8. Gunung Annapurna, Nepal (8,091 m)

Gunung Annapurna sering digelar sebagai gunung paling berbahaya di dunia, dengan kadar kematian mencecah antara 27 hingga 32 peratus.

Sejak direkodkan, lebih 72 pendaki telah terkorban di puncak ini, termasuk tragedi ribut salji pada tahun 2014 yang meragut 43 nyawa, menjadikannya simbol keganasan alam yang tidak terduga.

SAYS.com
Image via CKGO2

9. Gunung Gasherbrum I, sempadan Pakistan dan China (8,080 m)

Gunung Gasherbrum I, atau dikenali juga sebagai K5, merekodkan kadar kematian sekitar 10 peratus.

Ancaman utamanya berpunca daripada cuaca ekstrem, laluan berbatu yang mencabar serta risiko runtuhan salji yang sentiasa mengintai para pendaki.

SAYS.com
Image via Expeditions Unlimited

10. Gunung Broad Peak, Pakistan (8,051 m)

Gunung Broad Peak, atau dikenali sebagai K3, mencatatkan kadar kematian sekitar lapan peratus dengan lebih 20 korban direkodkan.

Risiko di gunung ini dipengaruhi oleh faktor cuaca tidak menentu, cerun curam yang berbahaya serta jumlah pendaki yang rendah, menjadikan usaha menawan puncaknya penuh dengan ketidakpastian.

SAYS.com
Image via Deposit Photos

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: