Bakat Cilik Mahir 5 Teknik Taranum Azan, Dapat Peluang Jadi Bilal Gantian Di Masjid

Dia telah berjaya memenangi lebih 15 pertandingan azan di peringkat daerah serta negeri.

Enlarge text
Cover ImageCover image via Harian Metro
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Walaupun baru mencecah usia 13 tahun, Muhammad Harraz Darwisy Sharulremy memiliki bakat luar biasa dalam seni taranum dan melaungkan azan yang mampu memikat hati sesiapa sahaja yang mendengarnya

Kebolehan remaja ini membolehkan beliau diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab sebagai muazzin atau bilal gantian di beberapa buah masjid di sekitar daerah Timur Laut.

Memetik laporan Harian Metro, pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Tarbiah Islamiah ini menjelaskan bahawa minat mendalamnya terhadap tugas di masjid berputik hasil amalan kerap mengikut bapanya menunaikan solat di Masjid Jamek Haji Kassim, Kampung Makam.

Selain pengaruh bapanya, kecenderungannya juga didorong oleh datuknya yang memegang jawatan sebagai bilal di masjid yang sama.

Minat Muhammad Harraz mula bertambah setelah melihat datuknya melaungkan azan, yang kemudiannya mendorong beliau untuk mula menonjolkan bakat dalam seni taranum meskipun pada waktu itu pertuturannya masih lagi pelat.

SAYS.com
Image via Harian Metro

Sudah memenangi lebih 15 pertandingan azan di peringkat daerah dan negeri 

Setahun selepas itu, dia menyertai kelas pengajian di masjid berkenaan bersama lebih 20 kanak-kanak lain dari sekitar daerah Timur Laut, di mana beliau turut berpeluang untuk mengambil bahagian dalam pertandingan azan.

"Sudah banyak pertandingan yang saya sertai namun diawal pembabitan, memang tidak pernah menang dan sedikit kecewa.

"Ketika itu ayah pesan bahawa kalah atau menang bukan perkara utama, tetapi ilmu serta pengalaman yang diperoleh dan apabila menang, jangan sesekali bersikap riak," katanya.

Muhammad Harraz menjelaskan bahawa dia tidak mengamalkan sebarang petua penjagaan suara yang khusus melainkan hanya meminum air suam setiap kali sebelum dan selepas bangun daripada tidur.

SAYS.com
Image via Harian Metro

Sehingga kini, dia telah berjaya memenangi lebih 15 pertandingan azan di peringkat daerah serta negeri, selain diberi penghormatan menerima Anugerah Kanak-kanak Harapan Kariah Masjid Haji Kassim dan gelaran Tokoh Muazzin 2024.

Antara pengalaman yang paling bermakna buat dirinya adalah ketika menyertai pertandingan azan di Festival Sedekad Darul Hadis pada tahun 2022. Pada waktu itu, beliau yang baru berusia sembilan tahun terpaksa bersaing dengan peserta dalam kalangan golongan dewasa, namun tetap kental menonjolkan bakatnya.

"Setakat ini saya sudah mahir melaungkan sebanyak lima teknik taranum azan iaitu Makkah, Hijaz, Nahawand, Jiharkah dan Bayyati. Kemahiran yang saya ada bukan untuk bermegah tetapi sebagai pelapis untuk disambung generasi akan datang.

"Jadual bertugas sebagai bilal sementara memang padat setiap bulan Ramadan bagi solat fardhu dan terawikh manakala bulan lain saya turut diundang bagi sesi bacaan doa dan berselawat di program termasuk majlis perkahwinan.

"Cita-cita saya mahu mahu sambung pengajian bidang Syariah di Mesir dan mahu buka madrasah di sini bagi menyambung bakti di negeri kelahiran,"
katanya.

Sharulremy menyedari minat anaknya yang sering belajar sendiri lenggok azan melalui video, malah Muhammad Harraz bijak membahagikan masa antara pelajaran dan tugas di masjid.

Kini, minat yang sama turut mula ditunjukkan oleh adik bongsunya, Muhammad Ali Naqiuddin yang berusia tujuh tahun.

SAYS.com
Image via Harian Metro

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: