‘Atok Grab’ 71 Tahun Gigih Hantar Makanan Demi Anak Strok Undang Sebak Ramai
Tiba-tiba mata masuk habuk.
Cover image via Harian MetroFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Di saat ramai memilih berehat di usia emas, seorang warga emas berusia 71 tahun masih gagah meredah panas dan hujan demi mencari rezeki buat keluarga tercinta
Itulah kisah menyentuh hati Zakaria Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai 'Atok Grab' yang tular di media sosial kerana masih aktif sebagai penghantar makanan walaupun sudah bergelar warga emas.
Bagi Zakaria, pekerjaan bukan soal malu atau usia, sebaliknya tanggungjawab terhadap keluarga menjadi sebab utama dia terus bertahan di jalanan.
"Malu jangan fikir, kerja yang baik kita buat saja," katanya.
Menurut laporan Harian Metro, Zakaria mula menyertai platform Grab pada tahun 2021 ketika pandemik COVID-19 melanda. Sejak itu, rutin hariannya tidak pernah berubah, mengambil tempahan makanan dan menghantarnya kepada pelanggan demi memastikan keluarga terus terbela.

Menurutnya, kerja sebagai rider lebih mudah dan fleksibel untuk dilakukan walaupun pada usia lanjut.
Namun di sebalik senyumannya, tersimpan ujian berat yang dipikul seorang ayah. Anak sulungnya yang berusia 39 tahun diserang strok kira-kira sembilan bulan lalu dan kini tidak lagi mampu bekerja seperti dahulu.
Sebelum jatuh sakit, anaknya merupakan pemandu e-hailing Grab dan banyak membantu keluarga mencari pendapatan.
"Sekarang saya hilang tulang belakang," luahnya.
Disebabkan itu, Zakaria terpaksa menggandakan usaha mencari wang tambahan termasuk untuk kos rawatan anaknya agar dapat kembali sihat seperti sediakala
Walaupun pernah terlibat dalam kemalangan dengan lori 10 tayar sehingga motosikalnya rosak teruk, semangat Atok Grab tidak pernah luntur.
Dia tetap kembali ke jalan raya menggunakan motosikal lama demi meneruskan kehidupan. Menurut Zakaria, jika cuaca baik dan tempahan banyak, dia mampu memperoleh lebih RM100 sehari termasuk tip pelanggan.

Namun faktor usia menyebabkan dirinya tidak lagi sekuat dahulu untuk bekerja dari pagi hingga malam. Apa yang lebih menyentuh hati, Zakaria mengakui dia tidak tahu sampai bila mampu bekerja.
"Bila-bila masa saya akan dijemput Allah SWT. Saya cuma berharap anak sulung saya sembuh dan boleh cari rezeki semula," katanya.
Dalam masa sama, Zakaria turut menitipkan pesanan kepada golongan muda supaya tidak terlalu memilih pekerjaan. Baginya, selagi kerja itu halal dan mampu dilakukan, tiada sebab untuk malu.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



