Adakah Telur Lalat Berbahaya? Ini Soalan Yang Kerap Ditanya, Selamat Ke Untuk Makan
Penjelasan ringkas, jelas, dan penting untuk keselamatan makanan anda.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Bila kita buka tudung saji dan ternampak bintik putih kecil berderet pada lauk, memang rasa cuak
Ramai terus terfikir "Ini telur lalat ke?" walaupun ia kelihatan kecil dan tidak berbahaya, kehadiran bintik-bintik ini sebenarnya petanda besar bahawa makanan itu sudah tidak selamat dimakan dan sebabnya mungkin bukan seperti yang anda sangka.
Ramai masih percaya bahawa telur lalat itu sendiri bahaya dan boleh menyebabkan keracunan.
Hakikatnya, punca risiko kesihatan datang daripada sesuatu yang lain iaitu bakteria yang dibawa oleh lalat itu, bukan telurnya.

Gambar sekadar hiasan.
Image via IDII10 perkara penting tentang telur lalat pada makanan yang anda wajib tahu
1. Betulkah bintik putih kecil itu telur lalat?
Ya. Bintik putih kecil, lembut dan tersusun rapat biasanya tanda gugusan telur lalat. Bila ternampak, rasa geli itu normal dan ia petanda untuk berhati-hati.
2. Kalau tertelan telur lalat saja, terus keracunan makanan?
Tidak. Telur lalat sendiri tidak beracun. Ia masih di peringkat awal dan kebanyakan masa akan dimusnahkan oleh asid perut manusia.
3. Jadi, apa yang sebenarnya bahaya?
Bakteria. Lalat membawa bakteria dari tempat kotor seperti najis, longkang, dan tong sampah. Antaranya E. coli dan Salmonella.
Lalat juga meninggalkan najis mikro dan sedikit muntahan yang digunakan untuk mencairkan makanan. Inilah punca utama keracunan.

4. Bila ada gugusan telur, apa maksudnya tentang makanan itu?
Ia menunjukkan makanan sudah lama terdedah. Lalat tidak datang sekali tetapi berkali-kali. Lagi banyak telur, lagi tinggi risiko pencemaran.
5. Apa jadi kalau makan makanan yang sudah dicemari lalat?
Beberapa jam selepas pencemaran, bakteria mula menghasilkan toksin. Itulah yang menyebabkan muntah, cirit-birit, perut memulas, pening, dan badan lemah. Bukan telur lalat yang buat anda keracunan tetapi bakteria.
6. Betulkah telur lalat boleh menetas dalam perut?
Tidak boleh. Telur lalat perlukan udara untuk menetas. Asid perut sangat kuat dan akan memusnahkan telur serta larva. Ia mustahil membesar dalam tubuh manusia.
7. Kalau telur hanya ada pada satu bahagian ayam, boleh buang kawasan itu dan makan selebihnya?
Tidak disarankan. Bila ada telur pada satu bahagian, lalat hampir pasti berjalan dan mencemari bahagian lain. Bakteria mudah berpindah melalui minyak, wap dan kuah.

8. Bagaimana dengan makanan bersos pekat seperti kari atau sambal?
Risiko lebih tinggi. Sos pekat memerangkap bakteria dengan mudah. Jika satu kawasan tercemar, seluruh kuah berpotensi berbahaya.
9. Kalau tertelan satu dua telur lalat tanpa sedar, bahaya tak?
Jika makanan tidak tercemar dengan bakteria, biasanya tiada mudarat langsung. Tetapi dalam situasi sebenar, kehadiran telur lalat hampir selalu menunjukkan bahawa lalat sudah hinggap banyak kali, bermakna risiko bakteria sangat besar.
10. Kenapa makanan yang diragui lebih baik dibuang saja?
Kerana kesihatan jauh lebih penting daripada membazir satu hidangan. Bila mata anda sudah nampak telur lalat, itu tanda jelas makanan tidak selamat lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 