Lelaki Beri Makan 200 Haiwan Terbiar Setiap Hari Selama 9 Tahun – “Kalau Saya Tak Datang, Mereka Akan Lapar”
Banyak pahala dia tolong jaga haiwan terbiar, terima kasih bang!
Cover image via SAYSFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ketika kebanyakan daripada kita masih fikir nak makan apa untuk tengah hari, seorang lelaki ini sudah pun separuh jalan dalam misi hariannya dengan memberi makan lebih 150 kucing terbiar dan 50 anjing terbiar di 35 'hot spot' sekitar Perak
Lebih menarik lagi, menurut laporan SAYS, lelaki yang dikenali sebagai Khairil Azhar yang merupakan bekas eksekutif bank dan bekas ahli majlis tempatan berusia 49 tahun itu sudah melakukan rutin tersebut setiap hari tanpa gagal selama sembilan tahun.
Tidak kiralah hujan, panas, atau pun lututnya sakit teruk akibat osteoartritis tahap empat, dia tetap memandu kereta, membunyikan hon, dan membantu haiwan-haiwan terbiar.
"Mereka tak berbahaya. Mereka cuma lapar. Tapi orang layan mereka macam perosak. Itu yang buat hati saya hancur," katanya.

Tidak pernah merancang untuk menjadi pemberi makan haiwan terbiar sepenuh masa, namun selepas melihat terlalu banyak haiwan kelaparan, didera, dan dibunuh dengan kejam hanya kerana meminta makanan dan air, dia tidak sanggup berdiam diri
"Ada yang diracun. Ada yang dibiarkan terpanggang di bawah matahari. Ada juga yang mati kebuluran. Di mana perikemanusiaan kita? Kalau haiwan yang tak boleh bercakap atau mempertahankan diri pun kita tak ada belas kasihan, adakah itu menggambarkan tentang kita?" soalnya.
Dari jam 10.30 pagi hingga 10 malam, laluan Khairil merangkumi pelbagai lokasi termasuk rumahnya, sebuah mini shelter yang diurus olehnya sendiri, tepi jalan, pasar basah, lorong belakang, flat, kawasan hutan, dan juga tempat orang membuang haiwan peliharaan yang tidak diingini.
Malah, dia mengenali semua haiwan itu mengikut nama termasuklah yang baru dibuang sekalipun, tidak terlepas daripada perhatiannya.
"Saya boleh tahu bila seekor kucing atau anjing itu baru. Nampak jelas kekeliruan pada mata mereka," ujarnya.

Pernah suatu ketika, dua ekor anjing jalanan yang selalu diberi makan menyalak tanpa henti sehingga dia mengikut mereka lalu menemui dua anak kucing hampir lemas dalam longkang.
Pernah juga, tiga ekor anjing menghalau seekor ular di ladang kelapa sawit pada waktu malam ketika dia sedang memberi mereka makan.
"Mereka semua dah tiada sekarang, tapi saya takkan lupa mereka," katanya.
Menu harian haiwan-haiwan terbiar itu termasuk:
- 25kg makanan kering kucing
- 8 tin makanan basah kucing
- 20kg kepala ayam rebus
- Makanan anjing dalam guni dan tin

Kebanyakan kos makanan itu ditampung oleh poketnya sendiri, ditambah dengan sumbangan daripada pencinta haiwan lain. Kadang-kadang, dia terpaksa berjimat supaya setiap haiwan sekurang-kurangnya dapat satu hidangan sehari.
Cabaran yang dihadapinya bukan sekadar soal kewangan. Ada orang yang pernah memarahinya dan ada juga yang mengancam haiwan-haiwan itu.
Belum lagi cuaca yang tak menentu, sakit lutut, dan hakikat bahawa dia sudah bertahun-tahun tidak bercuti kerana haiwan-haiwan itu betul-betul menunggu kedatangannya.
"Kalau saya tak datang, mereka akan lapar. Saya tak sanggup bayangkan," katanya.
Sepanjang misinya, Khairil telah menyelamatkan dan mencari rumah baharu untuk ratusan ekor kucing dan puluhan ekor anjing
Kata Khairil, kisahnya bukan untuk tular, tetapi untuk menyemai rasa peduli.
"Kalau lebih ramai bantu, beban ini takkan terlalu berat untuk segelintir orang. Kita tak boleh harapkan NGO atau rescuer sahaja. Haiwan-haiwan ini milik kita semua, dalam erti kata mereka berkongsi jalan, bandar, dan negara kita." katanya lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



