Zakat Selangor Tegaskan Tiada Kaitan Dengan Kes Seleweng Dana RM230 Juta
Kes penyelewengan dana RM230 juta yang dilaporkan sebelum ini tidak melibatkan Zakat Selangor, menurut kenyataan rasmi institusi itu.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Lembaga Zakat Selangor menafikan penglibatan institusi itu dalam kes penahanan beberapa individu yang dikaitkan dengan siasatan penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta
Menurut Lembaga Zakat Selangor, kes yang sedang disiasat pihak berkuasa itu melibatkan sebuah NGO dan tidak mempunyai kaitan dengan pengurusan zakat di bawah institusi berkenaan.
Zakat Selangor turut memaklumkan bahawa mereka tidak akan mengeluarkan sebarang ulasan lanjut memandangkan siasatan masih dijalankan.
Sebagai institusi zakat rasmi Negeri Selangor di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Zakat Selangor beroperasi dengan sistem tadbir urus yang ketat serta pemantauan berlapis.
Ini termasuk audit dalaman, audit luaran dan semakan pihak berautoriti bagi memastikan pengurusan dana zakat sentiasa berada dalam keadaan teratur dan telus.
Dalam kenyataan sama, Zakat Selangor menegaskan bahawa mereka kekal tegas terhadap sebarang bentuk salah guna dana zakat serta memastikan setiap pengurusan dibuat mengikut garis panduan dan tadbir urus yang ditetapkan.
Orang ramai disarankan untuk mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi Zakat Selangor dan menunaikan zakat melalui platform sah di www.zakatselangor.com.my.
Pada masa yang sama, orang ramai turut diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan kepercayaan terhadap institusi zakat.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

