Wartawan Gaza, Saleh Al-Jafawari Terkorban Dipercayai Dibunuh Tali Barut Israel
Difahamkan, Saleh Al-Jafawari telah dibunuh dengan tujuh das tembakan ke arah tubuhnya.
Wartawan Palestin, Saleh Al-Jafarawi terbunuh semasa pertempuran di Gaza City, hanya beberapa hari selepas Israel dan Hamas mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza
Wartawan berusia 28 tahun itu, yang telah terkenal dengan videonya membuat liputan tentang perang, telah ditembak dan dibunuh oleh anggota "militia bersenjata" semasa membuat liputan pertempuran di kawasan kejiranan Sabra di bandar berkenaan.
Menerusi laporan Al Jazeera, agensi Sanad Al Jazeera mengesahkan rakaman yang diterbitkan oleh wartawan dan aktivis yang menunjukkan beliau ditembak mati ketika memakai jaket bertanda 'PRESS'. Beliau difahamkan telah hilang sejak pagi Ahad yang lalu.
Sumber dari orang tempatan memberitahu pertempuran berlaku antara pasukan keselamatan Hamas dan pejuang dari puak Doghmush di Sabra pada Ahad, tetapi ia belum disahkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Sumber kanan di Kementerian Dalam Negeri Gaza memberitahu bahawa pertempuran di Gaza City melibatkan "militia bersenjata yang bergabung dengan rampasan pendudukan (Israel)".
Sumber itu berkata, pasukan keselamatan mengenakan kepungan ke atas militia, sambil menambah bahawa "anggota militia" tersebut membunuh orang yang dipindahkan ketika mereka pulang dari selatan Gaza ke Gaza City.

Lebih 270 pekerja media telah dibunuh di Gaza sejak Oktober 2023
Dalam konflik ini, lebih 270 petugas media kini telah terbunuh di Gaza sejak permulaan perang terbabit pada Oktober 2023.
Difahamkan, lebih ramai wartawan terbunuh di Gaza dalam perang tersebut, berbanding Perang Saudara di Amerika Syarikat, Perang Dunia Pertama dan Kedua, Perang Korea, Perang Vietnam, perang di Yugoslavia dan perang pasca kejadian 9/11 di Afghanistan, digabungkan kesemuanya.
Walaupun telah diumumkan gencatan senjata baru-baru ini, pihak berkuasa tempatan berulang kali memberi amaran bahawa keadaan keselamatan di Gaza masih berisiko tinggi.
Kematian Al-Jafarawi berlaku ketika gencatan senjata semasa di Gaza telah tiba pada hari ketiga, berdekatan dengan hari pertukaran tebusan yang dijangkakan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 