Warga Asing Selamba Tukar Nama Jalan, Jadikan Kawasan Lapang Tempat Kegiatan Sabung Ayam
Difahamkan, nama jalan tersebut telah ditukar dengan nama warga asing yang mengendalikan kegiatan terbabiti.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebuah nama papan tanda jalan telah ditukar sempena nama warga asing yang turut menjalankan kegiatan perjudian sabung ayam di kawasan itu
Menerusi laporan Berita Harian, papan tanda nama jalan itu yang pada asalnya dipanggil Lorong Pangsapuri Sri Angkasa ditukar kepada Lorong Iwan Pirang sempena namanya.
Lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun itu antara 72 individu yang ditahan dalam serbuan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerusi Op Cakar di sebuah kebun haram berhadapan Pangsapuri Sri Angkasa, Taman Bayu Perdana di sini, semalam.
Kebun haram yang mempunyai tanaman pokok pisang itu turut dilihat dipagar dengan zink bagi mengelak dikesan pihak berkuasa di samping turut dibina reban ayam termasuk tandas dan sebuah pondok kecil bagi menjalankan aktiviti itu.
Warga asing yang dikenali sebagai 'Iwan Pirang' memberitahu dia pada mulanya hanya berniat untuk memelihara ayam, namun dia mendakwa rakan-rakan mengajaknya mengadakan pertandingan ayam.
Menurutnya, kegiatan menyabung ayam ini baru dijalankan beberapa bulan lalu dan kebiasaannya diadakan pada Ahad bermula 3 petang hingga 5 petang.
"Saya mulanya suka-suka menternak ayam, namun tidak menjadi sebelum ada rakan-rakan mengajak mengadakan sabung ayam ini. Keuntungan diperoleh tidak menentu namun boleh mencecah ke RM4,000 dalam sehari," katanya.
Katanya, mereka yang bermain kebanyakannya tinggal di kawasan tersebut dan membawa sendiri ayam di mana tempat untuk menyabung ayam sudah disediakannya.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Jawa PosSindiket perjudian sabung ayam dan bola golek berjaya ditumpaskan Polis Kontinjen Selangor dalam serbuan Ops Cakar
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata serbuan pada jam 5.30 petang oleh Bahagian D7Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Selangor itu turut disertai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor.
"Seramai 72 lelaki berusia antara 20 hingga 70 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian dan sabung ayam di lokasi berkenaan.
"Tangkapan merangkumi dua lelaki bertindak sebagai penganjur serta 70 pemain, terdiri daripada 41 warga tempatan dan 31 warga asing," katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai RM55,075 selain pelbagai peralatan perjudian, manakala pihak veterinar menemukan 14 ayam hidup serta empat ayam mati yang dipercayai akibat aktiviti sabung berkenaan.
"Hasil siasatan awal mendapati sindiket itu sudah beroperasi sejak enam bulan lalu, menggunakan kawasan kebun haram yang terlindung sebagai lokasi perlawanan yang diadakan setiap Ahad.
"Nilai pertaruhan bagi setiap perlawanan sabung ayam dilaporkan mencecah sehingga RM10,000," katanya.
Menurutnya, kesemua individu yang ditahan kini direman di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 32 Akta Kebajikan Haiwan 2015 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 