Warden Jelaskan Sebab Arah Pelajar Alihkan Zara Qairina Dari Lokasi Kejadian
Warden terbabit telah mengarah dua pelajar membersihkan kawasan Zara Qairina diletakkan selepas dialih dari lokasi ditemui.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ketua Warden, Azhari Abd Sagap mengaku mengarahkan beberapa pelajar mengangkat Allahyarham Zara Qairina Mahathir ketika ditemukan tidak sedarkan diri
Menerusi laporan Harian Metro, saksi kelapan inkues kematian arwah Zara Qairina itu berkata dia telah mengarahkan supaya arwah diangkat sejurus tiba di lokasi arwah terbaring selepas menerima panggilan daripada pengawal keselamatan.
Difahamkan, saksi turut membantu mengangkat arwah Zara Qairina selepas empat pelajar yang diarahkannya menyatakan tidak larat untuk mengangkat arwah selepas beberapa langkah bergerak.
Pegawai Pengendali inkues, Mohd Fairuz Johari bertanya kepada Azhari berapa lama arwah terbaring sebelum dialihkan ke tempat lain selepas saksi tiba di lokasi kejadian.

Berikut di bawah soal jawab antara Azhari dengan Mohd Fairuz:
Mohd Fairuz: Berapa lama keadaan Zara begini (terbaring) sebelum diangkat?
Azhari: Satu hingga dua minit selepas saya sampai, saya arahkan pelajar angkat Zara.
Mohd Fairuz: Siapa yang angkat?
Azhari: Dari longkang (beliau menyebut tiga pelajar) dan aunty (mak cik) Linah (Mansoding @ Jaliha, 60) (pengawal keselamatan) dari sebelum saya sambut. Saya sambut selepas tiang sebab pelajar yang angkat keberatan (merasa berat). Selepas itu tinggal dua orang pelajar bersama saya angkat.
Mohd Fairuz: Siapa arah Zara diangkat?
Azhari: Saya.
Mohd Fairuz: Boleh tunjuk cara angkat?
Azhari: (saksi menunjukkan cara mengangkat tubuh Zara Qairina dengan menggunakan patung). Semasa di longkang, saya nampak pelajar yang mengangkat, empat orang termasuk aunty Linah keberatan pada masa itu, sebelum saya sambut bersama dua pelajar (masing-masing jaga kepala dan kaki arwah).
Mohd Fairuz: Kenapa cikgu arah Zara diangkat?
Azhari: Semasa saya sampai, saya tidak nampak kecederaan Zara, selepas diangkat baru saya nampak kecederaan Zara. Saya nampak kecederaan Zara pada bahagian kaki kiri, itu saja saya nampak pada masa itu dan kalau di tempat saya (berada), saya tidak nampak Zara jatuh dari mana sebab pada masa itu baju (arwah) sudah diturunkan dan saya tidak nampak tangan di longkang seperti dalam gambar.
Mohd Fairuz: Kenapa tidak biarkan Zara hingga pihak berkuasa atau ambulans sampai?
Azhari: Seperti saya kata tadi, saya tidak nampak kecederaan Zara semasa saya sampai, saya hanya nampak kaki saja cedera, sebelah kiri, saya cakap kepada pelajar jangan pegang. Selepas angkat barulah saya nampak ada kesan darah di bucu longkang. Tujuan saya angkat sebab mahu bawa ke hospital.

Dialihkan kira-kira 20 meter dari lokasi ditemukan
Ketua Warden berusia 31 itu berkata, arwah Zara Qairina diangkat ke tepi bilik warden asrama perempuan dengan jarak kira-kira 20 meter dari lokasinya ditemukan.
Menurut Azhari, pada awalnya mereka mahu arwah dihantar terus ke hospital menggunakan kereta, namun tidak jadi disebabkan tubuh arwah Zara Qairina berat diangkat.
"Sebab itulah saya bawa sebelah rumah warden. Di tempat terlindung dan rata dan saya tidak letak begitu saja, saya alas dengan kain pelikat, baru letak dengan hati-hati," katanya.
Mohd Fairuz turut bertanya kenapa arwah Zara Qairina tidak diangkat ke bilik sakit asrama yang terletak di hadapan lokasi dia ditemui terbaring:
Mohd Fairuz: Tempat dia jatuh hampir bilik sakit?
Azhari: Tidak, itu bilik ketua pelajar. Di atas ada tulis bilik sakit, tapi itu bukan bilik sakit sebab itu baru diwujudkan pada tahun ini.
Mohd Fairuz: Kami sudah melawat di sana, bilik itu tulis bilik sakit?
Azhari: Tidak, ia baru diwujudkan pada tahun ini.
Mohd Fairuz: Kenapa tidak letak sana?
Azhari: Sebab saya fikir saya mahu bawa ke hospital dengan kereta sendiri, tapi sebab keberatan kami letak sanalah (depan bilik warden) dan situ terlindung dari pandangan pelajar lain.
Mohd Fairuz: Kalau keberatan patut letak di bilik depan itu?
Azhari: Saya yang angkat sendiri pun trauma, kalau saya letak sana ahli bilik (pelajar) juga akan jadi trauma.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 