Wanita Maut Dirempuh Lori Ketika Berhenti Tepi Jalan Untuk Tukar Tayar Kereta Pancit
Mangsa yang berusia 31 tahun bekerja di sebuah syarikat penapis air dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Senawang.
Cover image via Berita HarianFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang wanita maut dirempuh lori ketika sedang menukar tayar kereta di Kilometer 260.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di Seremban pagi tadi
Menerusi laporan Harian Metro, kejadian yang berlaku jam 9.20 pagi itu diketahui rakan sekerja, Nur Affiqah Jamran, 30, selepas dihubungi rakan serumah mangsa sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
"Kami sepatutnya mesyuarat dengan arwah pagi ini, namun dia tidak muncul di pejabat membuatkan kami pelik sehinggalah saya dihubungi rakan serumahnya memberitahu dia kemalangan.
"Saya dan seorang rakan sekerja bergegas ke lokasi, namun sebaik sampai dia sudah meninggal dunia, mayatnya ditutup dengan kain putih," katanya.

Kemalangan membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 dan sebuah lori kontena jenis Volvo
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian pemandu Proton X50 (mangsa) dalam perjalanan dari arah Gadong menghala ke Senawang.
"Apabila sampai di lokasi kemalangan, SUV dipandunya dipercayai mengalami kerosakan, tayar belakang sebelah kanan pancit. Pemandunya dikatakan memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan.
"Bagaimanapun, ketika sedang menukar tayar datang sebuah lori kontena yang dipandu lelaki berumur 24 tahun di lorong kiri dan dipercayai bergesel dengan pemandu kereta itu.
"Individu yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Rembau untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



