Wanita Malaysia Rugi RM1.2 Juta Lepas Upah ‘Perkhidmatan’ Dapatkan Semula RM1,500 Daripada Scammer
Hati-hati dengan scammer yang menyamar jadi anti-scam ini!
Cover image via Ahmad Ukasyah/New Straits TimesFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang wanita yang cuba mendapatkan semula RM1,500 hilang akibat penipuan rugi RM1.2 juta selepas mendapatkan khidmat firma guaman yang didakwa berjanji untuk membantunya
Kes itu telah diketengahkan oleh Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong pada sidang akhbar awal minggu ini, 15 Disember.
"Ini pada dasarnya merupakan kes penipu yang menipu mangsa penipuan," kata Chong.
Menurut Chong, firma guaman yang menggelarkan diri mereka sebagai 'anti-scam' ini banyak mengiklankan perkhidmatan dalam talian.
Perkhidmatan itu mendakwa mereka boleh mendapatkan semula 90% hingga 95% wang yang hilang akibat penipuan, di mana ia dilihat sebagai angka yang tidak masuk akal dan mengelirukan.
"Saya telah berurusan dengan banyak kes penipuan dalam talian dan keputusan saya setakat ini adalah sifar pemulihan. Tiada seorang pun daripada mangsa yang datang berjumpa saya berjaya mendapatkan kembali wang mereka," katanya menerusi laporan New Straits Times.

Chong memaklumkan jabatannya telah merekodkan dua kes sedemikian setakat ini, satu tahun lepas dan satu lagi tahun ini, kedua-duanya melibatkan mangsa yang telah mengalami kerugian kewangan yang besar
Dalam kes yang pertama, seorang wanita kehilangan RM1,500 akibat penipuan akhirnya kerugian RM1.2 juta selepas mendapatkan khidmat firma yang berjanji untuk mendapatkan semula wangnya.
Dalam kes yang terkini, seorang lelaki telah ditipu sebanyak RM390,000 membayar tambahan RM33,000 kepada firma guaman yang dipercayainya sah, hanya untuk menyedari bahawa dia telah ditipu sekali lagi.
"Habis simpanan mereka hilang, semuanya hilang. Mereka telah diperdaya, beberapa mangsa ada yang mula meminjam daripada Ah Long untuk cuba mendapatkan semula wang mereka, di mana ia hanya mendorong mereka ke dalam masalah yang lebih mendalam," kata Chong.
Beliau menambah bahawa firma palsu ini sering bergantung pada laman web 'polished websites', nama yang kedengaran profesional dan jaminan yang berani untuk kelihatan sah, sambil mengeksploitasi kepercayaan orang ramai terhadap profesion undang-undang.

Seorang peguam kanan yang turut hadir di sidang akhbar itu memberi amaran kepada orang ramai supaya berwaspada dengan iklan sedemikian
Peguam tersebut, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menegaskan bahawa pengiklanan undang-undang di Malaysia dikawal ketat di bawah Peraturan Profesion Undang-undang (Publisiti) 2001.
"Daripada apa yang kami lihat, ini tidak kelihatan seperti iklan yang tulen. Ia kelihatan salah dan tidak konsisten dengan apa yang dibenarkan oleh peraturan," katanya menurut laporan The Star.
Muhammad Shafee menyatakan bahawa kebanyakan iklan tersebut kelihatan sengaja direka untuk menyasarkan komuniti Cina.
"Pelanggan Cina sering bertanya, 'Berapakah peratusan kejayaan?' Apa-apa sahaja yang melebihi 80%, akan menarik minat mereka.
"Ini adalah cara biasa untuk menarik perhatian masyarakat Cina. Dakwaan seperti pemulihan 95% bukanlah gurauan, ia bertujuan untuk mengujakan mangsa.
"Ia akan menarik perhatian mangsa dengan cerita yang menarik dan sebaik sahaja mereka terlibat, perkhidmatan palsu itu akan terus perdayakan mangsa sehingga alami kerugian," katanya.
Beliau turut mempersoalkan kesahihan firma yang memperkenalkan diri mereka sebagai pengendali undang-undang "rentas-sempadan".
"Mereka perkenalkan perkhidmatan sebagai 'Undang-undang Merentas Sempadan', yang kedengaran sangat mengagumkan dan menunjukkan bahawa mereka adalah bersifat antarabangsa.
"Jika anda sebuah firma undang-undang rentas sempadan yang tulen, mengapa menggunakan ringgit? Ringgit bukanlah mata wang yang didagangkan secara meluas. Ini menunjukkan mangsa yang disasar adalah rakyat Malaysia," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



