Wanita Luah Rasa Kecewa, Kepuk Dengan Batu Nisan Kubur Arwah Ibu Kena Curi
Difahamkan, kes kehilangan tersebut berlaku di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ibor, Batu 3, Pedas, Negeri Sembilan
Cover image via @melatighani_mell77 (Threads)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kepuk dan batu nisan sebuah kubur hilang dipercayai dicuri oleh individu yang tidak bertanggungjawab
Menerusi laporan Harian Metro, Melati Abd Ghani, 48 meluahkan rasa kecewa apabila kubur ibunya, Allahyarham Rahmah Yaakob yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ibor, Batu 3, Pedas, Negeri Sembilan didapati hilang kepuk dan satu batu nisannya.
"Kecewa, marah dan sakit hati sangat kerana lihat kubur emak diperlakukan begitu.
"Kami adik-beradik sudah buat yang terbaik untuk jaga kubur tapi ada tangan ghaib pula mencuri sampai berasa kubur (tanah perkuburan) pun sudah tak selamat," katanya.
Tambahnya, niatnya bersama adik-beradik memasang kepuk di kubur tersebut adalah bagi mengelak tanah runtuh dan bukan sebagai hiasan.

Perkara itu disedari ketika adiknya datang menziarahi kubur
Menurut Melati, dia tidak menyangka ada individu tergamak mencuri kepuk, nisan dan batu sungai yang diletakkan di mana kehilangan tersebut disedari adiknya ketika menziarahi kubur ibu mereka pagi semalam.
"Adik kongsi gambar di kumpulan WhatsApp keluarga dan bila tengok, memang terkejut kerana sampai macam itu sekali ada yang tergamak buat dekat kubur emak.
"Tak ada yang tinggal kecuali batu nisan tertera nama emak dan ia pertama kali berlaku selepas kami adik beradik cantikkan kubur arwah pada Mac selepas meninggal dunia Ramadan tahun lalu akibat sakit tua.
"Tak tahu kerja siapa tapi yang pasti bukan penduduk kampung kerana belum pernah jadi kes itu di tanah perkuburan berkenaan sebelum ini," katanya.

Berharap tanah perkuburan dapat dipantau bagi mengelak perkara sama berulang
Tambahnya, dia turut meminta adiknya untuk membuat laporan polis supaya pihak berkuasa cakna tentang apa yang berlaku.
Pada masa sama, Melati berharap tanah perkuburan itu dapat dipantau kerana bimbang akan perkara sama berulang di samping risau kubur lain pula menjadi mangsa.
"Kita tak pernah sangka pun akan terjadi kes macam itu kerana mustahil orang kampung nak buat begitu.
"Jadi saya harap dan minta sangat pertolongan supaya tanah perkuburan itu dipantau dan mungkin boleh dipertimbangkan untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV).
"Ia kerana selain kes curi, kita tak adanya individu melakukan perbuatan khurafat di kawasan tanah perkuburan kerana ia tempat yang sepatutnya terhindar daripada anasir negatif," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



