Wanita Dari Malaysia Kongsi Hamil Anak Yang Ke-10 Pada Usia 50 Tahun
Macam keluarga dulu-dulu anak ramai.
Cover image via Shakira Wahab/Harian MetroFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang wanita berusia 50-an berkongsi pernah hamil anak ke-10 ketika umurnya memasuki 50 tahun
Menerusi laporan Harian Metro, wanita tersebut, Shakira Wahab, 50, yang juga merupakan seorang guru, tidak pernah menyangka akan disahkan mengandung di usia 50 tahun.
Menurutnya, dia telah melahirkan anak kesembilan ketika berusia 45 tahun di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kota Bharu, Kelantan pada 2020.
"Ketika itu, doktor pakar di hospital berkenaan beritahu saya boleh lagi mengandung dua kali berdasarkan rekod pada rekod kesihatan saya.
"Doktor juga maklum jika saya tidak mahu lagi mengandung, dia minta saya ambil pil perancang. Namun, saya tak pernah ambil pil perancang dan hanya merancang sendiri," katanya.
Shakira berkongsi dia mengetahui dirinya mengandung apabila mendapati haidnya sampai lambat sebelum membuat pemeriksaan pada 11 November lalu.
"Apabila haid lambat, saya ingatkan sebab nak menopaus. Saya terlintas untuk periksa melalui kit dan mendapati ia positif (mengandung).
"Waktu itu, saya terkedu dan menangis seketika kerana memikirkan akan merasai semula pengalaman bersalin ketika sudah memasuki usia 50 tahun.
"Ketika saya melahirkan anak kesembilan, kos bersalin mencecah belasan ribu ringgit. Saya mula memikirkan kos ketika bersalin lagi nanti.
"Bagaimanapun, saya fikir jika Allah dah kurniakan seorang lagi rezeki (anak) untuk saya dan suami, Musa Mohamed, 53, bermakna kami mampu untuk menimang anak ke-10," katanya.

Rezeki tidak kesampaian untuk menimang cahaya mata ke-10
Bagaimanapun, katanya, rezekinya untuk menimang anak ke-10 tidak kesampaian apabila kandungannya berusia enam minggu gugur pada 23 Disember lalu.
"Ketika usia kandungan enam minggu, saya buat 'scan' (imbasan) dan doktor maklum 'bayi' nampak kecil seperti berusia empat minggu. Malah, doktor juga tak dapat kesan degupan jantung bayi.
"Lebih mengejutkan apabila doktor maklumkan bahawa saya ada sista sebesar 4.6 sentimeter (cm). Ketika itu, saya jadi keliru kerana kandungan anak-anak sebelum ini, tidak timbul masalah seperti ini.
"Malah, pengalaman mengandung kali ini tidak mengalami sebarang alahan seperti sebelum ini. Lazimnya, setiap kali mengandung, saya mengalami alahan seperti muntah," katanya.
Meskipun mengalami keguguran, Shakira tetap gembira menerima kehilangan itu dan menganggapnya sebagai 'pinjaman' daripada Allah SWT untuk dia mengalami pengalaman mengandung tanpa alahan.
"Saya hanya fikir positif mengenai perkara ini (keguguran) kerana yakin Allah pasti memberikan yang terbaik untuk hamba-Nya.
"Ini adalah kali pertama saya mengalami keguguran dan saya reda dengan perancangan Allah SWT," katanya yang memaklumkan mempunyai sembilan anak berusia lima hingga 23 tahun serta seorang cucu perempuan berusia lapan bulan.
Katanya, doktor memaklumkan bahawa dia masih boleh hamil sekiranya tidak merancang memandangkan dirinya sihat.
"Sejujurnya, saya rasa memadai mempunyai sembilan anak. Namun jika Allah mahu mengurniakan rezeki kepada saya (mengandung lagi), pastinya saya terima dengan tangan terbuka.
"Ini kerana Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk kita selaku hamba-Nya," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



