[VIDEO] Remaja 14 Tahun Menang Kereta BMW 5 Series Lepas Menabung Dengan BSN
Kereta sedan mewah itu mempunyai harga jualan bermula pada harga RM332,000.
Cover image via SAYSFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dari Seremban, Negeri Sembilan memenangi sebuah kereta BMW 5 Series selepas menyimpan wang dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) sejak dua tahun yang lalu
Dalam sebuah temu bual bersama SAYS, Che Thaqih Dzakwan berkata dia terkejut dan gembira apabila diberitahu bahawa dia telah memenangi kereta itu dan berkongsi bahawa sedan sentiasa menjadi kereta impiannya.
Apabila ditanya sama ada keluarganya merancang untuk menyimpan atau menjual kenderaan BMW itu, bapanya, Che Mazlan Che Jaafar berkata mereka merancang untuk menggunakannya sebagai kereta keluarga buat masa ini.
"Kami tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan, tetapi buat masa ini, kami akan menggunakannya," kata bapa berusia 49 tahun itu.
Remaja tersebut ditemui dalam satu majlis untuk menerima kenderaan sedan mewah bernilai RM332,000 tersebut di bilik pameran BMW di Kuala Lumpur hari ini, 6 Februari.

Che Mazlan mendedahkan dia mula menabung untuk pendidikan anaknya ketika remaja itu berumur 12 tahun, iaitu umur minimum yang diperlukan untuk layak mendapat cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP)
Bapa tersebut menyifatkan tabiat menabungnya adalah mudah dengan menabung sedikit apabila sedang kekurangan dan menabung lebih banyak jika memilika dana yang lebih.
Che Mazlan memberitahu dia sentiasa mengajar anaknya tentang kepentingan menabung.
"Apabila saya mempunyai wang, saya akan memberikannya kepada ayah saya, dan (berharap), dia akan menyimpannya di bank, bukan di dalam poketnya," seloroh Che Thaqih.
Remaja itu berkata dia berharap untuk mengikuti kursus berkaitan sains selepas tamat sekolah menengah selari dengan cita-citanya untuk menjadi saintis yang berjaya.
Apabila ditanya sama ada dia telah memberitahu rakan sekelasnya tentang memenangi BMW, dia berkata dia hanya memaklumkan kepada gurunya selepas meminta kebenaran untuk ponteng sekolah pada hari tersebut bagi menghadiri majlis tersebut.

BSN telah mengemas kini hadiah untuk cabutan bertuah SSP tahun ini
Pada tahun 2026, BSN akan menyediakan sejumlah RM28 juta hadiah kepada 15,969 pemenang.
Untuk penyertaan, pemegang akaun mesti menyimpan sekurang-kurangnya RM3,000 selama 60 hari.
Sesetengah kategori hadiah memerlukan penjimatan yang konsisten untuk layak. Ganjaran yang ada termasuklah BMW iX1, Mercedes-Benz GLA 200, Mini Cooper Countryman dan BMW Motorrad S 1000.
Di samping itu, akan juga ada pemenang bulanan RM1 juta dari bulan Januari hingga November, di mana pemenang Disember akan membawa pulang sebuah Porsche Macan.
Ketahui lebih lanjut tentang cabutan bertuah BSN SSP di SINI.
Lihat video temu bual tersebut di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



