[VIDEO] Penyelam Skuba Dedah Keadaan Perairan Semporna Dipenuhi Sampah Sarap
Banyaknya sampah :'(
Cover image via Aquila Chu (Disediakan kepada SAYS)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebuah video menunjukkan perairan yang dipenuhi sampah di Semporna, Sabah, menimbulkan kembali perhatian kepada masalah pencemaran yang telah lama berlarutan di kawasan pesisir pantai itu
Menerusi perkongsian seorang pengajar selam skuba, Aquila Chu di Facebook, video tersebut menunjukkan timbunan botol plastik dan sisa sampah yang lain terapung di permukaan laut sehingga airnya hampir tidak kelihatan.
"Melawat Semporna? Pergi terus ke pulau-pulau jika anda tidak mahu melihat situasi di kawasan ini," tulisnya pada kapsyen.
Perkongsian situasi berkenaan telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia di media sosial.
Dalam temu bual bersama SAYS, Chu berkata dia membuat hantaran video itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang keadaan yang semakin buruk.
"Saya lalu perkampungan air itu setiap kali saya bergerak untuk bekerja dan ia hanya sebahagian kecil daripada gambaran yang lebih besar.
"Seluruh perkampungan itu terbentang lebih daripada 2km di sepanjang pantai pekan Semporna dan semuanya diliputi sampah. Keadaan seperti ini sudah kekal selama bertahun-tahun dan ia semakin teruk," katanya.

Kurangnya sistem pelupusan sampah yang teratur jadi faktor utama
Dia menegaskan faktor utama pencemaran ini adalah kekurangan sistem pengumpulan dan pelupusan sampah yang betul untuk penduduk di kampung-kampung air ini.
"Lebih ramai orang yang tinggal di laut, lebih banyak sampah yang ada, hanya disebabkan tiada pengumpulan sampah yang betul. Tambahan lagi ramai antara mereka tidak mempunyai dokumen yang sah menjadikan keadaan lebih sukar untuk diuruskan.
"Apa yang anda lihat terapung hanyalah plastik di permukaan. Terdapat lebih banyak lagi di bawah," tambahnya.
Selain pemandangan, Chu memaklumkan bau yang terhasil turut tidak menyenangkan.
"Sampah dibawa oleh ombak dan arus di sepanjang saluran dan akhirnya ke laut. Sebahagian daripadanya terperangkap di sepanjang pantai, di mana ia mereput di bawah rumah-rumah dan jeti," jelasnya.

Sebagai seorang pengajar aktiviti selam, dia berasa kurang senang ketika mengajar di perairan sekitar Semporna
"Saya telah melihat pelbagai jenis benda di bawah air, pembalut plastik, televisyen lama malah mainan kanak-kanak pun ada. Semuanya ada di bawah sana," katanya.
Menurut Chu, ramai penduduk tempatan kecewa dan mahu pihak berkuasa mula mengambil tindakan.
"Mereka berharap pihak berkuasa akan menjalankan pembersihan laut setiap hari. Mereka tahu ia bukan penyelesaian jangka panjang, tetapi kerja penyelenggaraan adalah perlu.
"Sama seperti pekerja majlis bandar menyapu jalan-jalan setiap hari, bukankah sepatutnya kita mempunyai penjagaan yang sama terhadap laut?" soalnya.
Chu meluahkan harapan agar pihak berkuasa akan cakna dan menangani isu ini sebelum keadaan menjadi lebih teruk.

Lihat video tersebut di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



