[VIDEO] Pelukis Muda Dari Kelantan Kreatif Hasilkan Jalur Gemilang Gunakan Kain Pelikat
Pemuda tersebut turut sertakan figura Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada karya seni itu.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang pelukis dari Kampung Pulau Panjang, Kota Bharu telah menghasilkan Jalur Gemilang lain daripada yang lain dengan menggunakan kain pelikat
Menerusi laporan Bernama, Muhammad Darwisy Mustafani, 24, berkata dia menghasilkan Jalur Gemilang dengan cantuman potongan kain pelikat itu sebagai caranya menyemarakkan rasa cinta kepada negara sambil menyuntik nilai budaya tempatan dalam penghayatan erti kemerdekaan.
"Saya pilih kain pelikat kerana ia dekat dengan masyarakat kita, khususnya orang Melayu. la bukan sahaja simbol budaya tetapi juga cara untuk saya zahirkan rasa sayang kepada tanah air melalui kreativiti sendiri.
"Pemilihan warna sangat penting kerana saya mahu hasil ini benar-benar menyerupai Jalur Gemilang asli. Jadi saya ambil masa untuk pastikan tona merah, biru dan putih yang dipilih hampir sama," katanya.
Anak kelima daripada lapan beradik itu memaklumkan dia menggunakan empat helai kain pelikat yang berbeza warna iaitu merah, putih, biru dan kuning.

Akui proses yang paling susah adalah ketika membuat bintang 14 bucu
Siswazah dari kursus Kejuruteraan Seni Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata selepas berjaya mendapatkan kain pelikat, beliau memotong dan mencantum mengikut saiz yang telah ditetapkan sebelum dijahit menjadi Jalur Gemilang.
"Antara bahagian paling rumit ialah pada bintang pecah 14. Saya ambil masa kira-kira dua hari untuk menyiapkan bahagian ini kerana penjuru dan saiznya mesti sekata. Ada ketika saya hampir putus asa tetapi saya tekad untuk teruskan hingga siap," katanya.
Darwisy turut melukis figura Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada karya seni berkenaan sebagai simbolik kepada laungan keramat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
"Saya melukis figura Tunku Abdul Rahman yang sedang mengangkat tangan melaungkan kemerdekaan dengan cat akrilik. Saya mahu ia kelihatan 'hidup', sebagai simbol negara bebas daripada penjajah," katanya.
Bakat melukis turut jadi sumber pendapatan
Menurut Darwisy, bakat melukis sudah sebati dalam dirinya sejak di bangku sekolah dan menjadi sumber rezeki selepas menamatkan pengajian.
"Pada awalnya saya bekerja sebagai pelukis di sebuah syarikat swasta di ibu kota tetapi berhenti pada Jun tahun lepas. Karier seni saya tidak terhenti di situ malah saya terus berkarya di negeri kelahiran sendiri," katanya.
Setakat ini, lebih 50 lukisan songket pelbagai motif telah dihasilkan dengan harga bermula RM700 hingga RM15,000, bergantung kepada kerumitan serta jenis songket seperti tenun tangan, tenun kapas dan tenun sutera.
"Pelanggan saya terdiri daripada orang awam, kenamaan dan kerabat diraja. Saya juga pernah menghasilkan lukisan bunga rasmi negeri Selangor, Bunga Tanjung untuk Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dengan bertatahkan batu Swarovski," katanya.
Antara karya seni lain yang pernah dihasilkannya ialah potret Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah di atas songket yang dipamerkan di Istana Negara pada Oktober tahun lepas.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 