[VIDEO] Beruang Serang Penjaga Zoo Ketika Pertunjukan Berlangsung Depan Orang Ramai
Kedua-dua pengendali dan haiwan tersebut dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Cover image via Shanghai DailyFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seekor beruang hitam menerkam pengendalinya, mengheret dan mencakar pakaian individu tersebut dalam sebuah pertunjukan di zoo
Dalam kejadian yang berlaku di Hangzhou Wildlife World, wilayah Zhejiang, China itu, pengendali zoo terbabit dilihat bergelut dengan haiwan berkenaan kira-kira 46 saat pengendali zoo yang lain datang beri bantuan.
Menerusi laporan City News Service, beruang itu dilihat berundur seketika sebelum kembali menyerang, mendakap lengan dan kaki pengendali itu dan mengoyakkan pakaiannya. Pertunjukan terbabit kemudian serta-merta dibatalkan tetapi tarikan lain di tempat berkenaan terus kekal beroperasi seperti biasa.
Pegawai di Daerah Fuyang mengesahkan kejadian itu mengatakan tiada kematian atau kecederaan parah berlaku. Ia diklasifikasikan sebagai kemalangan, kemungkinan besar disebabkan oleh makanan yang dibawa oleh pengendali di dalam begnya, kemudiannya dihidu oleh beruang tersebut, menurut seorang kakitangan.

Beruang terbabit cuba merampas beg berisi lobak merah dan epal yang dibawa oleh pengendalinya
Pengendali berkenaan sendiri turut mengulas secara terbuka, mengatakan bahawa beruang itu sentiasa rakus. Apabila ia melihat beg yang penuh dengan lobak merah dan epal, ia menjadi teruja dan melompat bangun.
Insiden itu kemudiannya mencetuskan perdebatan mengenai amalan pertunjukan haiwan di China. Di bawah peraturan perlindungan hidupan liar dan pengurusan zoo China, pertunjukan haiwan komersial tidak diharamkan secara terus tetapi dikawal ketat.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar telah berulang kali mengarahkan zoo untuk menghentikan pertunjukan 'kejam' atau berisiko tinggi seperti memaksa haiwan liar menunggang basikal, melompat melalui gelung atau terlibat dalam helah kontak rapat.
Pihak tersebut menyatakan bahawa perbuatan sedemikian melanggar piawaian kebajikan dan meningkatkan bahaya kepada haiwan dan pengendali.
Lihat video insiden tersebut di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



