[VIDEO] Bengang Kereta Kena ‘Towing’, Lelaki Selamba Bakar Lori Tunda Majlis Bandaraya
Suspek dikatakan bertindak sedemikian selepas kereta Perodua Axia miliknya ditunda MBJB Khamis lalu.
Cover image via @anthraxxxx (X)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang lelaki ditahan polis selepas membakar sebuah lori tunda Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di depoh simpanan kenderaan di Johor Bahru Waterfront
Menerusi laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata kejadian itu berlaku pada jam 11.07 pagi Jumaat lalu.
Menurutnya, suspek berusia 31 tahun itu dipercayai tidak berpuas hati kenderaan jenis Perodua Axia miliknya ditunda MBJB sehari sebelumnya.
"Suspek yang tidak mempunyai wang untuk membayar kompaun diminta membuat rayuan, namun berasakan proses berkenaan menyusahkan dirinya sebelum bertindak di luar batas undang-undang.
"Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek menuang minyak petrol dan menyalakan api pada lori tunda MBJB sehingga mengakibatkan kebakaran dengan anggaran kerugian sekitar RM10,000," katanya.

Suspek didapati memiliki rekod lampau kesalahan bawah Akta Dadah Berbahaya 1952
Raub berkata, pihaknya merampas beberapa barang kes termasuk tong aluminium serta pemetik api semasa menahan suspek pada hari sama pada jam 1.06 tengah hari.
"Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, namun hasil ujian saringan air kencing didapati negatif dadah.
"Suspek kini direman selama lima hari bermula Jumaat lalu hingga Selasa bagi siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda," katanya.
Tegas Raub, tindakan mengambil undang-undang di tangan sendiri adalah perbuatan serius yang boleh mengancam nyawa, harta benda serta ketenteraman awam.
Lihat video tersebut di bawah:
Berang kereta ditunda, lelaki bakar lori tunda MBJB pic.twitter.com/IDW7gwGfYr
— @ (@anthraxxxx) August 17, 2025
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



