[VIDEO] Baru Belajar Heimlich Manoeuvre Beberapa Hari, Budak 11 Tahun Jadi Wira Selamatkan Wanita Tercekik Boba
Tindakan penyelamatan pantas kanak-kanak perempuan tersebut raih pujian warganet.
Cover image via Ningbo NetworkFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang kanak-kanak perempuan 11 tahun berjaya selamatkan seorang wanita yang tercekik bebola tapioca
Menerusi laporan Ningbo Network, rakaman litar tertutup (CCTV) kejadian yang berlaku di Shenyang, Wilayah Liaoning di China memaparkan tindakan penyelamatan pantas kanak-kanak perempuan tersebut.
Ketika kejadian yang berlaku pada 8 Ogos lalu, mangsa yang dikenali sebagai Wu sedang berada di sebuah restoran yang baru dibuka di daerah Huanggu di Shenyang. Mangsa dilaporkan sedang makan di restoran terbabit sebelum tercekik.
Wanita itu tiba-tiba kepedasan dan bertindak mengambil minumannya dan menyedut air bubble tea untuk menghilangkan rasa pedas. Malangnya, dia tercekik biji tapioca yang ada di dalam minuman berkenaan.
Wu berdiri, memberi isyarat kepada pasangannya dan kakitangan restoran bahawa dia tidak boleh bernafas. Pasangannya cuba menepuk belakangnya dan kakitangan restoran bergegas ke arahnya untuk membantu tetapi tiada siapa yang tahu cara melakukan prosedur keselamatan yang tepat.

Berjaya selamatkan menggunakan teknik Heimlich
Walau bagaimanapun, ketika itu seorang kanak-kanak bernama Hu Zihan turut sedang makan di meja berdekatan dan segera memberitahu mereka dia tahu apa yang perlu dilakukan.
Kemudian, dia segera meletakkan dirinya di belakang Wu dan merangkul tangan ke pinggangnya serta melakukan terus prosedur Heimlich.
Saksi berkata, dalam tempoh 30 saat, mereka melihat beberapa biji tapioca dikeluarkan dari mulut Wu, membolehkannya bernafas semula.
Rakaman CCTV menunjukkan Wu segera memberi reaksi lega kemudiannya bertindak memeluk Hu erat sebagai tanda terima kasih.

Mangsa cuba memberi isyarat untuk pertolongan cemas tetapi tiada siapa yang memahami gerak isyaratnya
Nasibnya baik pada hari itu, gadis terbabit segera mengetahui apa yang perlu dilakukan.
Setelah wanita itu berjaya diselamatkan barulah dikatahui bahawa Hu merupakan sukarelawan daripada persatuan Liaoning Provincial Red Cross Society.
Lebih menarik, dia baru sahaja mempelajari teknik untuk mengeluarkan halangan yang ada dalam saluran pernafasan dikenali sebagai teknik penyelamatan Heimlich dalam sesi latihan yang dihadirinya pada 1 Ogos.
"Red Cross berkata 'semua orang harus belajar pertolongan cemas, kerana pertolongan cemas adalah untuk semua orang'. Pada saat-saat genting, mengetahui pertolongan cemas benar-benar boleh menyelamatkan nyawa," kata Hu.


Ibu kepada kanak-kanak berkenaan berbangga dengan tindakan penyelamatan anaknya itu
Ibu Hu, yang menjadi saksi tindakan pantas menyelamat anaknya itu berkata dia amat berbangga dengan keberanian anak perempuannya.
"Dia memberitahu saya, 'Ibu, saya boleh menyelamatkannya', sebelum segera berdiri.
"Pada mulanya, tiada siapa yang berani membiarkan dia mengambil alih tindakan menyelamat.
"Tetapi dia terus berjalan ke arah wanita itu dan menyelamatkan nyawanya dalam masa 30 saat sahaja. Saya memberitahunya, dia memang hebat," kata ibu Hu.
Lihat video tersebut di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



