TV AlHijrah Tutup Tirai 2025 Dengan Lancar Lima Program Berimpak Tinggi Akan Datang

Melangkah ke tahun 2026, TV AlHijrah bertekad memperluas capaian, memperhebat kandungan digital dan kembali aktif di lapangan.

Enlarge text
Cover ImageCover image via TV AlHijrah
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Stesen televisyen gaya hidup Islam, TV AlHijrah, mengakhiri tahun 2025 dengan pelbagai pencapaian membanggakan, disusuli persembahan lima program berimpak besar sebagai buah tangan penghargaan buat penonton setianya

SAYS.com

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris

Image via TV AlHijrah

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, stesen tersebut mencatat perkembangan positif sepanjang tahun 2025, membuktikan kandungan Islamik berkualiti terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat melalui penerimaan kukuh kandungan digital dan televisyen.

"Kami berjaya mempelbagaikan genre serta pendekatan penyiaran agar nilai dakwah dapat disampaikan dengan lebih segar dan relevan,"
ujar Namanzee.

Kemuncak penghujung tahun 2025 di PICC: Konsert & Konvensyen

Sebagai kemuncak pengisian akhir tahun, TV AlHijrah bakal menganjurkan dua acara berskala besar di Putrajaya International Convention Centre (PICC):

1. Konsert Malam Hijrah Bergema (31 Disember 2025)

Konsert ambang tahun baharu, yang diadakan buat julung kalinya ini, akan bermula pada jam 9 malam. Ia merupakan usaha istimewa yang digerakkan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat.

Konsert ini menyatukan irama nasyid, zikir, dan semangat hijrah dengan menghimpunkan barisan artis ternama seperti Rabbani, Raihan, UNIC, Lah Ahmad, Hijjaz, InTeam, Mawi, Sufian Suhaimi, Munsyid Muda, serta menampilkan penyanyi legenda Datuk Hattan, Dato' Jamal Abdillah, dan Dato' Nash.

"Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah santapan jiwa yang membangkitkan rasa syukur, refleksi dan harmoni ketika kita melangkah menuju tahun baharu," jelas Namanzee. Konsert ini akan dihoskan oleh gandingan Faizal Ismail dan Ustaz Nabil Ahmad, dengan IKIMfm bertindak sebagai Rakan Penyiar Radio.

SAYS.com
Image via TV Al-Hijrah

2. Konvensyen Assalamualaikum: Perjalanan Menuju Kepada-NYA (30 Disember 2025)

Sehari sebelum konsert, Konvensyen Assalamualaikum akan diadakan di PICC. Konvensyen berskala besar dengan penyertaan lebih 800 peserta ini menampilkan tokoh sohor seperti Ustazah Muzayyanah Abdullah, Ustazah Nazirah Abu Bakar, Ustaz Dr. Haji Nur Mohammad Hadi Zahalan, Abu Talib Husin, Heliza Helmi, dan Hazwani Helmi.

Sesi petang pula akan diadakan Bengkel Solat bersama Ustazah Muzayyanah dan Ustaz Dr. Haji Nur Mohammad Hadi Zahalan.

Bagi penonton yang tidak berkesempatan hadir ke PICC, TV AlHijrah turut menghidangkan tiga program istimewa:

3. Program Anugerah Carta 114 Musim Ketiga

Program anugerah ini akan disiarkan secara langsung pada 27 Disember (Sabtu), jam 9 malam. Anugerah ini meraikan karya muzik Islamik serta ketuhanan terbaik pilihan penonton sepanjang tahun, sekaligus memartabatkan bakat pemuzik nasyid dan memperkukuh industri seni berteraskan dakwah.

4. Program Tenang Sekejap (Eksklusif di AlHijrah Plus/AH+)

Program gaya hidup Islamik ini mengetengahkan sisi peribadi asatizah dan pempengaruh Muslim melalui hobi mereka. Ia menyajikan dakwah secara ringan, santai, namun penuh makna, menampilkan Yousaf Iqbal, Fiekah Ishak, Ustaz Hanafiah Malek, Ustaz Adnin Roslan, Beto Khusyairi, dan ramai lagi.

SAYS.com
Image via TV AlHijrah

5. Lima Telefilem Terbaik (Eksklusif di AlHijrah Plus/AH+)

Aplikasi AH+ turut menayangkan lima telefilem terbaik iaitu Surat Dari Syurga, Menantu Datuk Nikah Kahwin, Vibrasi Ayat-Ayat Tuhan, 30 Juzuk Terakhir, dan Tanda Kiriman Tuhan. Telefilem ini menampilkan pelakon hebat seperti Dato' Ahmad Tamimi Siregar, Datuk Remy Ishak, Datuk Fauziah Nawi, dan Vanida Imran, membuktikan dakwah boleh disampaikan melalui visual berkualiti tinggi.

Melangkah ke tahun 2026, TV AlHijrah bertekad memperluas capaian, memperhebat kandungan digital dan kembali aktif di lapangan

Jelas Namanzee lagi, tahun hadapan akan menjadi titik tolak untuk menjadikan AlHijrah bukan sekadar stesen televisyen, tetapi sebuah gerakan masyarakat yang memupuk kefahaman agama, membina karakter ummah, dan membawa perubahan.

Inisiatif utama 2026 termasuk pengisian di masjid, institusi pendidikan, dan lokasi tumpuan awam, serta penganjuran Karnival Hijrah 2026 yang akan membuka lembaran baharu hubungan fizikal antara TV AlHijrah dan masyarakat.

TV AlHijrah menutup tirai 2025 dengan penuh syukur dan optimisme, menjemput penonton menyertai perjalanan dakwah, hiburan, dan ilmu yang lebih luas pada tahun hadapan.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: