Tang Jie-Ee Wei Lakar Sejarah Juarai Beregu Campuran Kejohanan Badminton Dunia 2025 Di Paris
Hadiah paling bermakna buat seluruh rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan ke-68.
Cover image via Thibaud Moritz/AFPFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menghadiahkan hadiah paling bermakna buat seluruh rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan ke-68 apabila melakar sejarah dengan menjuarai Kejohanan Dunia di Paris, hari ini
Menurut laporan Berita Harian, kejayaan membanggakan itu hadir selepas pasangan ranking empat dunia menampilkan persembahan hampir sempurna untuk menundukkan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dalam aksi final yang mendebarkan di Adidas Arena.
Untuk rekod, ini adalah gelaran dunia kedua buat Malaysia mengikuti kejayaan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada 2022.
Turun ke gelanggang dengan semangat baru, gandingan itu yang sebelum ini berdepan kemelut bangkit membuktikan kemampuan mereka untuk mencatat kemenangan 21-15, 21-14 dalam tempoh hanya 40 minit dengan corak permainan pantas dan agresif.

Aksi Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di pentas final Kejohanan Badminton Dunia di Paris.
Image via REUTERSTampil dengan corak permainan sedikit berbeza, pasangan negara itu jelas enggan meletakkan mereka berada di belakang dan menerusi kombinasi pukulan silang menarik Ee Wei dan smash tajam Tang Jie, mereka dilihat berjaya menekan pasangan China itu.
Perancangan itu berjaya apabila mereka menamatkan set pertama selepas Jiang Zhen Bang gagal membaca pukulan deras Tang Jie yang menuju ke arah kirinya.
Kembali bangkit menyamakan kedudukan sebelum mendahului buat kali pertama
Tersentak, pasangan China memulakan set pertama dengan mendahului 2-0 namun ketenangan Tang Jie-Ee Wei membuahkan hasil apabila mereka kembali bangkit menyamakan kedudukan sebelum mendahului buat kali pertama pada kedudukan 5-4.
Malah semangat juang mereka terserlah apabila Tang Jie dilihat sempat menampar pipinya sendiri sebagai tanda tidak berpuas hati selepas melakukan satu kesilapan mudah.
Tekanan yang diberikan nyata membuahkan hasil apabila lawan mula goyah dengan melakukan deretan kesilapan yang tidak sepatutnya, terutamanya daripada Zhen Bang yang seakan-akan menghadiahkan mata mudah buat pasangan negara untuk terus melebarkan jurang.

Selepas mengutip mata demi mata, detik bersejarah negara akhirnya tiba apabila pukulan balas Wei Ya Xin terkandas di jaring yang mengesahkan gelaran dunia pertama milik Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam acara beregu campuran hanya di peringkat separuh akhir menerusi pasangan Koo Kien Keat-Wong Pei Tty pada edisi 2006 di Madrid, Sepanyol.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



