Tabung Haji Dicadang Beri Warga Emas Layak Tunai Haji Secara Automatik Tanpa Perlu Rayu & Bayar Kos Penuh
Kelayakan automatik ini dicadang diberikan menerusi pakej muassasah.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Beberapa Ahli Parlimen memohon Lembaga Tabung Haji (TH) untuk mempertimbangkan supaya individu berumur 60 tahun dan ke atas diberikan kelayakan automatik untuk menunaikan haji
Menerusi laporan Berita Harian, Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berkata sistem pendaftaran haji ketika ini memerlukan warga emas yang tidak tersenarai dalam giliran haji tahun semasa membuat rayuan dan jika permohonan diluluskan, mereka perlu membayar bayaran haji penuh iaitu RM33,300.
"Kalau mereka (warga emas) ini nak merayu, mereka kena bayar lebih. Jadi apa yang dicadangkan Jempol (Datuk Shamshulkahar Mohd Deli) tak perlu untuk mereka rayu.
"Beri kelulusan automatik apabila umur 60 tahun ke atas (dapat giliran haji) dan pergi dengan muassasah. Tak perlulah sampai kena tambah berbelas ribu, seperti T20," katanya.
Sementara itu, Shamshulkahar turut meminta budi bicara TH untuk melakukan perubahan disifatkan perlu khususnya mengambil kira syarat kesihatan jemaah yang diperketatkan bermula musim haji tahun depan.
"Berilah keutamaan kepada warga emas tunai haji dahulu. Mungkin ada antara mereka lambat daftar (haji), mungkin sebab masa itu tak cukup syarat lagi.
"Jadi saya cadangkan TH bagi peluang, beri keutamaan kepada yang berumur 60 tahun ke atas sempurnakan fardu haji. Dalam kes tertentu, jika individu itu berumur 60 pada tahun ini, ada yang terpaksa tunggu giliran dijangka 15 tahun lagi, waktu itu usia mereka sudah 75 tahun, dengan keadaan sekarang (faktor kesihatan diperketat), macam mana mereka nak tunai haji," katanya.

TH masih berpegang kepada konsep siapa daftar dahulu akan didahulukan
Menjawab cadangan dikemukakan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, TH amat memahami hasrat dan harapan bakal haji terutama warga emas.
Menurutnya, setakat ini, TH berpegang kepada dasar sistem pendaftaran haji yang diperkenalkan sejak 1995 iaitu konsep 'mendaftar dahulu, didahulukan'.
"TH komited untuk tidak menafikan hak mana-mana pendeposit yang memenuhi syarat istitoah untuk mengerjakan haji.
"Bagi individu yang didaftarkan di luar tahun haji semasa, boleh membuat permohonan rayuan untuk mengerjakan haji, yang mana permohonan rayuan ini dibuka setiap tahun," katanya.

TH akan mempertimbang dan meneliti setiap tawaran yang dipersetujui termasuk permohonan rayuan untuk menentukan senarai bakal jemaah haji bagi setiap tahun
Katanya, bagi musim haji 1446H/2025M yang lalu, jumlah jemaah haji yang berusia 60 tahun ke atas terpilih adalah seramai 12,102 orang.
Ia mewakili hampir 40 peratus daripada jumlah keseluruhan jemaah haji tanah air.
"Ini jelas membuktikan TH bersifat terbuka dan prihatin terhadap permohonan daripada warga emas.
"Berkenaan (kelayakan automatik giliran haji warga emas berusia 60 tahun secara muasasah, tanpa melalui rayuan), pngurusan tertinggi TH ada di sini dan mereka mendengar (cadangan) ini," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 