Syarikat Pengeluar Pasta Terkenal, San Remo Sahkan Semua Produk Di Malaysia Halal
Harap semuanya jelas.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pengeluar pasta dari Australia, San Remo Macaroni Company Pty Ltd menjelaskan bahawa semua produknya yang diedarkan secara rasmi di Malaysia adalah diperakui halal dan memenuhi piawaian halal yang diiktiraf.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, 9 Februari, syarikat itu memaklumkan barangan yang dijual di Malaysia melalui pengedar yang sah, GBA Corporation Sdn Bhd, diperakui halal oleh Majlis Penyelarasan Islam Victoria (ICCV), sebuah badan pensijilan halal asing yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
San Remo menambah bahawa kemudahan pengeluarannya telah diaudit dan beroperasi mengikut keperluan halal.
"Kemudahan San Remo masih dan kekal sebagai tapak bebas daging babi," menurut syarikat itu.

Penjelasan itu dibuat selepas satu kenyataan JAKIM dikeluarkan pada 31 Januari mengenai salah satu produknya
Produk tersebut, San Remo La Pasta Carbonara Flavour Pasta and Sauce didapati mengandungi unsur daging babi dan tidak diperakui halal oleh jabatan tersebut.
JAKIM memberitahu ia merujuk kepada notis rasmi oleh Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei, yang mengesan DNA babi dalam produk carbonara dan memaklumkan rakyat Malaysia bahawa ia tidak diperakui halal di Malaysia.
Walau bagaimanapun, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee juga menyatakan bahawa produk tersebut tidak mempunyai logo halal dan tidak dijual di Malaysia.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai untuk menyemak label dan kandungan produk dengan teliti sebelum membeli dan mengutamakan barangan yang mempunyai pensijilan halal yang diiktiraf.

San Remo menegaskan semula bahawa produk carbonara khusus tersebut tidak dipasarkan, dijual atau diedarkan di Malaysia melalui saluran rasminya
"Dengan lebih 90 tahun pengalaman dalam pembuatan dan pengedaran makanan, San Remo kekal komited untuk menegakkan integriti halal," kata syarikat itu.
Pihak mereka juga menggalakkan pengguna untuk memilih produk yang diperakui halal oleh JAKIM atau oleh badan halal asing yang diiktiraf oleh JAKIM dengan teliti serta merujuk kepada panduan rasmi JAKIM semasa mengesahkan status halal produk makanan.
Semakan laman web rasmi San Remo Australia menunjukkan produk carbonara tersebut memiliki granul berperisa daging sebagai antara bahan-bahannya, berserta imej potongan daging babi panggang yang dihidangkan bersama salad sebagai hidangan sampingan resipi produk tersebut.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 