Suami Wakaf Lebih RM60,000 Hibah Arwah Isteri, Netizen Tersentuh Dengan Kasih Sayang ‘Sampai Syurga’
MashaAllah, semoga diberi ganjaran pahala berpanjangan buat pak cik ini.
Cover image via Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebuah kisah penuh kasih sayang dan ketulusan jadi tular apabila seorang lelaki di Kuala Pilah, Negeri Sembilan memilih untuk mewakafkan RM60,380 atas nama isterinya yang baru meninggal dunia pada 29 Oktober lalu
Menurut hantaran di Facebook Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), jumlah itu datang daripada penjualan emas milik arwah serta wang simpanan yang ditemui selepas pemergian wanita tersebut.
Difahamkan, arwah sempat menghibahkan semua harta itu kepada suaminya, namun lelaki ini tidak menggunakan walau satu sen pun.
Sebaliknya, dia memilih untuk menyerahkan sepenuhnya jumlah itu sebagai wakaf satu bentuk amal jariah yang pahalanya berterusan, walaupun selepas seseorang meninggal dunia.

Tindakan lelaki itu dianggap sebagai simbol cinta yang tidak berpenghujung
Bukannya menyimpan atau membelanjakan pemberian arwah, tetapi dia memilih untuk berbakti kepada masyarakat atas nama insan yang amat disayanginya.
MAINS turut berkongsi penghargaan atas kemurahan hati pewakaf tersebut, menyifatkannya sebagai perbuatan yang mencerminkan keimanan mendalam serta kasih sayang tulus seorang suami terhadap isterinya.

Menurut MAINS, harta wakaf itu akan disalurkan kepada sektor penting seperti pendidikan, sosioekonomi dan kesihatan, agar manfaatnya dapat dinikmati masyarakat dalam jangka masa panjang.
"Semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala mengurniakan ganjaran pahala yang berlipat ganda kepada pewakaf serta menempatkan al-marhumah isterinya dalam kalangan hamba-Nya yang beramal soleh, dilapangkan kuburnya dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab," katanya.
Lihat posting di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



