Stadium Nasional Bukit Jalil Kini Dikenali Sebagai TM Stadium Nasional – PSM
Stadium tertutup Putra yang terletak di kompleks sukan sama turut dijenamakan semula sebagai Unifi Arena.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Venue ikonik di Malaysia, Stadium Nasional Bukit Jalil kini dijenamakan semula sebagai TM Stadium Nasional
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, penjenamaan semula itu adalah inisiatif daripada pemeteraian kerjasama strategik selama tiga tahun antara Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) baru-baru ini.
PSM dalam kenyataan turut memaklumkan Stadium Putra, yang terletak di dalam kompleks sukan sama, juga dijenamakan semula dengan nama Unifi Arena.
Menurut PSM, kerjasama strategik itu bertujuan meningkatkan kelestarian pengurusan stadium serta menaik taraf kemudahan supaya venue berkenaan terus menjadi lokasi penganjuran acara sukan dan hiburan bertaraf dunia.
"Kami komited memastikan kemudahan ini sentiasa berada pada tahap terbaik untuk rakyat Malaysia. Kerjasama hak penamaan ini merupakan satu inisiatif oleh PSM untuk memperkukuh kelestarian dan pembangunan jangka panjang venue-venue ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif PSM, En Iliyas Jamil.

Berharap venue terbabit tetap akan menjadi kebanggaan negara
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad, Encik Amar Huzaimi Md Deris berkata pihak TM berbesar hati mendapat kepercayaan dalam kerjasama ini.
"Selama lapan dekad, TM memainkan peranan penting dalam menghubungkan rakyat Malaysia merentasi generasi.
"Kami berbesar hati diberi kepercayaan untuk memegang hak penamaan bagi venue nasional yang begitu ikonik ini dan amat menghargai kepercayaan yang diberikan kepada kami.
"Stadium Nasional dan Stadium Putra sekian lama menjadi tempat rakyat Malaysia berkumpul untuk memberi sokongan, meraikan kejayaan dan menyaksikan detik bersejarah.
"Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat terus memperkukuh kedua-dua stadium ini agar ia kekal menjadi tempat yang menyatukan masyarakat dan menyemarakkan kebanggaan negara untuk generasi akan datang," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 