Sistem ‘Single Window, Single Offer’ Diperkenal Untuk Lepasan Form 6, Asasi & Matrikulasi – KPT

Take note!

Enlarge text
Cover ImageCover image via Danial Saad & Bernama
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Kementerian Pendidikan Tinggi perkenal sistem 'single window & single offer' bagi mengurus permohonan lanjutan pengajian bagi program matrikulasi, asasi dan Tingkatan Enam

Menerusi laporan Berita Harian, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata sistem ini akan menggabungkan semua platform permohonan sedia ada dengan penilaian dibuat berdasarkan sistem meritokrasi ditetapkan.

"Maknanya, pemohon akan terima satu tawaran berdasarkan keputusan terbaik berdasarkan sistem meritokrasi ditetapkan. Jadi tiada lagi kita akan berbahas kenapa pemohon dapat ini, bukannya itu.

"Melalui sistem ini, tiada lagi pelbagai sistem penilaian pemohon untuk memasuki ke universiti. Asasnya dari segi PNGK (Purata Nilai Gred Kumulatif) iaitu sistem penilaian kekal di matrikulasi, asasi dan Tingkatan Enam, kekal," katanya.

Bagi sistem pengredan pula, tiada perubahan akan dibuat kerana kaedah penilaian program matriks, asasi dan Tingkatan Enam dibuat berdasarkan PNGK.

"Majlis Peperiksaan Malaysia akan terus memastikan penilaian pengredan Tingkatan Enam, manakala program matrikulasi dipantau Lembaga Penasihat Akademik dan demikian juga program asasi," katanya.

SAYS.com

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Image via NSTP/Faiz Anuar

Pengambilalihan program matrikulasi oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dijangka diteruskan menjelang 2027

Menurut Zambry, terdapat pelbagai isu berbangkit, termasuk perihal perundangan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu, sebelum proses pengambilan pelajar boleh diteruskan semula.

"Kita tak dapat membuat jangkaan secara tepat, namun ada dua fasa iaitu Perancangan dan Persediaan, mulai sepanjang tahun ini, diikuti Fasa II – Pelaksanaan Pengoperasian program matrikulasi, dijangka bermula pada 2027.

"Kita membahagikan dua fasa kerana ia membabitkan perubahan perundangan. Ada banyak (perubahan) apabila kerajaan membuat keputusan untuk memindahkan (program matrikulasi daripada KPM).

"Ia membabitkan beberapa perihal perundangan dan dijangka mengambil masa selama setahun ini. Antaranya perubahan Seksyen 2 dan Seksyen 33 Akta Pendidikan 1996, Akta Majlis Peperiksaan 1980 dan beberapa lagi yang memerlukan pindaan di Parlimen terlebih dahulu," katanya.

Katanya, ia merangkumi isu skim sedia ada KPM untuk dipindahkan ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandangkan terdapat perbezaan antara kedua-dua kementerian berkenaan.

"Jawatankuasa sudah dibentuk dan membincangkan untuk memperhalusi perkara ini, terutama membabitkan semua tenaga pengajar KPM yang berpindah ke KPT.

"Keputusan mengenai perincian sama ada skim berkenaan akan kekal atau sebaliknya, dijangka diumumkan kelak," katanya.

SAYS.com

Gambar sekadar hiasan.

Image via Harian Metro

Penyelarasan di bawah KPT dijangka mengurangkan pertindihan fungsi antara KPM dan KPT

Penyelarasan ini difahamkan akan mengurangkan pertindihan fungsi dari segi aspek perancangan kurikulum, pentaksiran, pengurusan kemasukan dan pemantauan kualiti.

Beliau berkata, penyatuan tadbir urus itu membolehkan perkongsian sumber, penyelarasan sistem data dan kos operasi optimum tanpa menjejaskan kebajikan pelajar atau kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Tambahnya, dari segi jaminan kualiti kemasukan ke Universiti Awam (UA) pula, KPT akan memastikan program matrikulasi terus berfungsi sebagai laluan kemasukan yang berwibawa, adil dan berdaya saing.

"Penjajaran lebih rapat dengan program asasi UA dijangka meningkatkan kesediaan akademik pelajar, kebolehbandingan standard serta kebolehterimaan pelajar dalam program ijazah.

"Malah, pemindahan pengurusan tidak bertujuan mengubah atau mengurangkan unjuran sedia ada, sebaliknya memastikan supaya unjuran kekal selaras keputusan kerajaan serta prinsip keterangkuman dan keseimbangan akses pendidikan," katanya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: