Fatimah Binti Muhammad adalah puteri kepada Rasullah S.A.W.
Situasi yang dihadapi keluarganya, membuatkan Fatimah kehilangan keseronokan semasa kecilnya. Tetapi Fatimah tidak pernah menyesal, dia rela meninggalkan masa kanak-kanaknya untuk menghadapi derita bersama keluarganya. Semenjak Muhammad s.a.w menyampaikan ajaran Islam, kaum Quraisy menjadi kejam terhadap keluarga mereka.
Fatimah menghadapi berbagai tindakan kekerasan dari mereka yang tidak mahu menerima ajaran Islam. Walaubagaimanapun, Fatimah gembira kerana keadaan ini membuatkan hubungan keluarga mereka kembali erat.
Sejak kecil, Fatimah telah mengalami derita penganiayaan bersama ayahnya. Pada satu ketika, Fatimah berjalan di samping ayahnya menuju Ka'abah dan dilihat oleh kaum Musyrikin dan serentak dengan itu mereka berteriak manyatakan Muhammad adalah orang yang bodoh yang menyatakan kebesaran Tuhannya. Dengan penuh kelembutan dan kesabaran Muhammad menyatakan bahawa dirinya berkata sesuatu yang benar dan Allah itu wujud.
Fatimah sendiri yang menyaksikan sendiri ayahnya dihina dengan cara yang melampaui batas. Sedang Rasulullah S.A.W bersujud di Ka'abah, tidak jauh dari situ ada seorang yang sedang mengawasi baginda. Orang tersebut adalah Uqbah bin Abi Mu'ith yang telah meletakkan kotoran binatang sembelihan dipunggung baginda. Rasulullah S.A.W hanya diam tanpa mengangkat kepala baginda. Fatimah datang dan dengan keberanian yang ada beliau telah memaki Uqbah, dengan tangannya yang halus itu beliau telah membuang kotoran tersebut dari punggung ayahnya yang tercinta.
Fatimah sememangnya anak kesayangan Rasulullah S.A.W sebagaimana yang telah diriwayatkan dalam hadith Sahih: *"Fatimah adalah sepotong dariku. Aku merasakan apa yang dirasakannya dan aku juga membenci apa yang dibencinya."*