Shah Alam Jadi Bandar Paling Mahal Untuk Didiami Dalam Malaysia – DOSM
Betul ke orang Shah Alam?
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Shah Alam diletakkan sebagai ibu negeri dengan kos kehidupan wajar tertinggi dalam negara apabila merekodkan Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) paling tinggi bagi pelbagai saiz isi rumah
Menerusi laporan Harian Metro, indeks PAKW merupakan indikator baharu dalam penerbitan Indikator Kos Sara Hidup yang digunakan untuk mengukur tahap perbelanjaan diperlukan bagi mengekalkan kehidupan wajar di pelbagai lokasi dengan menetapkan Kuala Lumpur sebagai nilai rujukan pada paras 100 mata indeks.
Indikator itu bertujuan menyediakan ukuran relatif purata perbelanjaan yang diperlukan di peringkat negeri, daerah pentadbiran dan ibu negeri, selain memudahkan perbandingan kos kehidupan wajar antara lokasi secara relatif.
Nilai indeks yang lebih rendah menunjukkan keperluan perbelanjaan lebih rendah bagi mengekalkan kehidupan wajar berbanding Kuala Lumpur, manakala nilai yang lebih tinggi mencerminkan keperluan perbelanjaan yang lebih besar di sesuatu lokasi.
Menurut indeks tersebut, ibu negeri Johor, Johor Bahru berada pada kedudukan kedua di belakang Shah Alam, diikuti Georgetown, Pulau Pinang; Seremban, Negeri Sembilan dan Bandaraya Melaka, Melaka.

Isi rumah Malaysia berdepan variasi kos hidup yang signifikan berdasarkan lokasi
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata isi rumah Malaysia berdepan variasi kos hidup yang signifikan mengikut lokasi, khususnya di peringkat ibu negeri, berdasarkan dapatan Indikator Kos Sara Hidup Malaysia 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
"Bagi isi rumah seorang, Shah Alam merekodkan Indeks PAKW tertinggi iaitu 99.8 mata indeks, diikuti Johor Bahru (92.9) dan Georgetown (90.7), Seremban (87.7) dan Melaka (87.1). Manakala indeks terendah dicatat di Kangar (59), Kota Bharu (61.5) dan Kuala Terengganu (68.2).
"Corak sama turut direkodkan bagi isi rumah dua orang dengan Shah Alam kekal tertinggi pada 100.1 mata indeks, diikuti Johor Bahru (92.6), Georgetown (91.3), Seremban (88.5) dan Melaka (87.9). Indeks terendah dicatat di Kangar (58.8), Kota Bharu (62.9) dan Alor Setar (69.7)," katanya.
Beliau berkata, bagi isi rumah tiga orang, Shah Alam terus mendahului dengan 100.2 mata indeks, diikuti Georgetown (92.6) dan Johor Bahru (92.5), manakala Kangar merekodkan indeks terendah iaitu 59.1 mata indeks, diikuti Kota Bharu (64.0) dan Alor Setar (70.4).
"Trend sama turut dilihat bagi isi rumah empat orang apabila Shah Alam mencatat indeks tertinggi pada 100.3 mata indeks, diikuti Johor Bahru (92.4) dan Georgetown (91.9), manakala indeks terendah direkodkan di Kangar (59.2), Kota Bharu (64.6) dan Alor Setar (71.4)," katanya.
Secara keseluruhan, Shah Alam merekodkan kos kehidupan wajar yang melebihi nilai rujukan Kuala Lumpur bagi pelbagai saiz isi rumah, manakala Kangar kekal sebagai lokasi dengan kos terendah, hanya sedikit melebihi separuh daripada kos kehidupan wajar di Shah Alam.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Image via NSTP/Nabila Adlina AzahariWilayah Petaling turut mencatat nilai Indeks PAKW melebihi rujukan Kuala Lumpur
Melihat perbandingan di peringkat daerah pentadbiran, hanya Petaling di Selangor yang mencatat nilai Indeks PAKW melebihi rujukan Kuala Lumpur bagi semua saiz isi rumah, daripada seorang hingga empat orang.
"Bagi isi rumah seorang, Petaling mencatat indeks tertinggi pada 103.3 mata indeks, diikuti Gombak, Selangor (94.9 mata indeks) dan Johor Bahru, Johor (94.7 mata indeks), manakala indeks terendah dicatat di Pantu (27.8 mata indeks), Lingga (28.3 mata indeks) dan Sebuyau (29.1 mata indeks) di Sarawak.
"Bagi isi rumah dua orang, Petaling kekal tertinggi pada 104.8 mata indeks, diikuti Timur Laut, Pulau Pinang (94.9 mata indeks) dan Gombak (94.6 mata indeks), dengan indeks terendah di Pantu (29.9 mata indeks), Lingga (31.0 mata indeks) dan Membakut, Sabah (31.2 mata indeks).
"Analisis bagi isi rumah tiga dan empat orang menunjukkan trend yang sama, dengan Petaling terus mendahului, sementara Membakut mencatat indeks terendah. Bagi semua saiz isi rumah, indeks di Pantu kurang daripada sepertiga daripada Petaling, menekankan perbezaan ketara kos hidup antara daerah pentadbiran," katanya.
Mohd Uzir berkata, DOSM menerbitkan Indikator Kos Sara Hidup, Malaysia 2024 yang memberikan gambaran menyeluruh dan terperinci mengenai statistik kos sara hidup bagi isi rumah di negara ini, mencerminkan perbelanjaan yang diperlukan untuk kehidupan wajar serta penyertaan bermakna dalam masyarakat.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 