10 Rakyat Malaysia Ke Türkiye Untuk Pelajari Amalan Terbaik Dunia & Perkasa Sektor Tekstil Warisan Negara
Türkiye dipilih kerana ia memiliki ekosistem tekstil yang kukuh dalam mengharmonikan warisan dengan inovasi.
Cover image via Yayasan HasanahFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Demi memastikan kelangsungan sektor tekstil tradisional negara yang berdepan cabaran moden, seramai sepuluh orang artisan warisan tekstil Malaysia kini memulakan perjalanan pembelajaran ke Türkiye
Kumpulan ini adalah penerima pertama Khazanah ACE² Heritage Textile Fellowship, sebuah inisiatif unik yang bertujuan untuk memperkukuh, menginovasi, dan memelihara tradisi kraf tempatan melalui pendedahan antarabangsa.
Program yang diumumkan oleh Yayasan Hasanah bersama cabang biasiswanya, Yayasan Khazanah, ini merupakan usaha pertama seumpamanya untuk melengkapkan penggiat seni tempatan dengan amalan terbaik global, bimbingan pakar, dan inovasi produk.
Ekosistem tekstil Türkiye sebagai "bilik darjah hidup"
Program selama enam bulan ini distrukturkan untuk menggabungkan tiga minggu pembelajaran imersif di Türkiye, diikuti dengan lima bulan bimbingan dan pembangunan produk di Malaysia.
Türkiye dipilih kerana ia memiliki ekosistem tekstil yang kukuh dalam mengharmonikan warisan dengan inovasi. Ia akan menjadi "bilik darjah hidup" di mana para felo dapat memerhati bagaimana negara dengan legasi tekstil mendalam membina ekosistem yang berdaya tahan dalam pasaran moden.

Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah serta Pemegang Amanah Yayasan Khazanah, Siti Kamariah Ahmad Subki.
Image via Yayasan Hasanah"Program Fellowship ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membina ekosistem tekstil warisan yang berkembang pesat," kata Puan Siti Kamariah Ahmad Subki, Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah merangkap Pemegang Amanah Yayasan Khazanah.
Beliau menekankan bahawa tujuan utama program ini adalah membina jaringan yang saling menguatkan. "Jika kita ingin memastikan warisan kita terus hidup, kita mesti melangkaui kehebatan individu dan membina jaringan yang saling menguatkan, saling belajar dan memajukan komuniti keseluruhannya. Itulah yang ingin dipupuk oleh Khazanah ACE² Heritage Textile Fellowship," tambah beliau.
Fasa pembelajaran dan inovasi
Di Türkiye, para felo akan berinteraksi dengan artisan, koperasi, universiti, dan pengeluar di bandar-bandar utama seperti Istanbul, Kayseri, dan Bursa. Lawatan akan turut merangkumi muzium dan institusi yang memelihara tradisi tekstil negara tersebut.
"Bagi para felo, Türkiye bukan sekadar destinasi pembelajaran teknikal, ia adalah pengalaman menyeluruh tentang bagaimana warisan budaya dan kreativiti moden boleh wujud seiring menjana rezeki dan memperkukuh identiti negara," jelas Puan Siti Kamariah.
Sekembalinya ke Malaysia, peserta akan menjalani bimbingan berstruktur selama lima bulan, bertujuan membangunkan karya dan inisiatif baharu. Perjalanan ini akan diakhiri dengan Capsule Craft Collection iaitu pameran awam yang meraikan inovasi dan perkembangan kemahiran mereka.

Para felo, yang dipilih melalui panggilan terbuka di seluruh negara, berkongsi aspirasi mereka menjelang pengembaraan:
- NURAN SYAZIYAH RAZALI (Usahawan Kreatif – Sarawak) Nuran Syaziyah fokus pada aspek pemodenan busana. "Disebabkan terdapat perbezaan antara pakaian tradisional Türkiye dan Malaysia, saya ingin melihat bagaimana mereka memodenkan busana tradisi mereka — bagaimana mereka menyesuaikan ke dalam konteks kontemporari," jelasnya. Beliau berharap dapat menyesuaikan pendekatan moden Turki itu untuk diguna pakai dalam rekaan tempatan.
- NOR AZRINA LASA (Usahawan Kreatif, Batik – Kuala Lumpur) Bagi Nor Azrina, penerokaan ini adalah mengenai pembangunan ekosistem perniagaan kraf. "Melalui penerokaan ini di Türkiye, saya ingin mempelajari bagaimana artisan di sana membangunkan dan memperluas seni tekstil mereka — bagaimana persekitaran mereka memperkasa pertumbuhan, dan bagaimana mereka menggabungkan pengaruh tradisional dan moden," katanya. Pengetahuan ini penting untuk memperkukuh proses kreatif dan pengeluaran syarikatnya, BatikTEKTURA.
- MOHD AZWARIN BIN AHMED (Artisan, Telepuk – Terengganu) Artisan Telepuk ini menyasarkan pemeliharaan warisan dan pemindahan ilmu kepada generasi baharu. "Saya ingin belajar daripada Turki bagaimana mereka mengekalkan kesenian warisan dan menurunkan ilmu kepada generasi muda," ujar Mohd Azwarin. Beliau mengakui kesenian telepuk masih kurang dikenali oleh generasi baharu di Malaysia, dan berharap dapat membawa pulang inspirasi untuk menarik minat anak muda dan melahirkan lebih ramai 'penelepuk' selepas kembali.
- NORINDA K. SU'UT (Artisan, Keringkam – Sarawak) Bagi Norinda, perjalanan ke Türkiye adalah impian yang berkaitan dengan peningkatan kemahiran teknikal. "Di sana ada benang dan sulaman unik dengan pelbagai teknik yang saya ingin pelajari supaya dapat saya aplikasikan dalam sulaman Keringkam Sarawak," katanya. Melalui program ini, beliau berharap dapat memperkaya warisan sulaman Keringkam Sarawak dengan teknik baharu yang dipelajari di sana.
- CHARMAINE KAMAL (Artis Tekstil – Selangor) Charmaine Kamal pula memberi tumpuan kepada aspek teknikal dan konseptual. "Saya ingin melihat bagaimana budaya lain mengekalkan kraf mereka, bagaimana artisan Turki menyesuaikan teknik berusia berabad kepada amalan moden dan penggunaan bahan mereka," terangnya. Berminat dengan tekstur dan struktur, beliau berharap dapat mempelajari cara menghubungkan budaya dan menerapkan pandangan global tersebut ke dalam karya kreatifnya sendiri.

Nor Azrina Lasa (kanan), usahawan kreatif, menerima Sijil Anugerah sebagai salah seorang penerima Khazanah ACE2 Heritage Textile Fellowship 2025.
Image via Yayasan Hasanah
Nor Azrina Lasa, usahawan kreatif, menerima Sijil Anugerah sebagai salah seorang penerima Khazanah ACE2 Heritage Textile Fellowship 2025.
Image via Yayasan Hasanah
Mohd Azwarin Ahmed (kanan), artisan Telepuk, menerima Sijil Anugerah sebagai salah seorang penerima Khazanah ACE2 Heritage Textile Fellowship 2025 yang julung kali diadakan.
Image via Yayasan Hasanah
Nuran Syaziyah Razali (kanan), artisan Keringkam, menerima Sijil Anugerah sebagai salah seorang penerima Khazanah ACE2 Heritage Textile Fellowship 2025 yang julung kali diadakan.
Image via Yayasan Hasanah
Nuran Syaziyah Razali (kanan), Usahawan Kreatif, menerima Sijil Anugerah sebagai salah seorang penerima Khazanah ACE2 Heritage Textile Fellowship 2025 yang julung kali diadakan.
Image via Yayasan HasanahSelama lebih sedekad, Yayasan Hasanah komited terhadap usaha pemeliharaan budaya termasuk mendigitalkan dan melindungi motif warisan melalui pendaftaran harta intelek, melatih artisan baharu dalam bidang seperti Keringkam, Songket dan Telepuk, serta menyokong pameran yang mengetengahkan seni kraf Malaysia.
Program Fellowship ini memperluas misi tersebut dengan membimbing generasi artisan baharu agar menggabungkan pandangan global untuk menghidupkan semula tekstil warisan Malaysia dalam dunia kontemporari.
Pada masa hadapan, Hasanah merancang meneroka rantau lain yang kaya dengan tradisi tekstil seperti India dan Maghribi, untuk memperluas lagi platform pembelajaran dan pertukaran budaya ini.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



