Senegal Dinobat Juara AFCON, Menang Tipis Ke Atas Tuan Rumah Dalam Aksi Penuh Drama
Tahniah Senegal!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Senegal berjaya tewaskan tuan rumah, Maghribi 1-0 sekali gus menjulang trofi Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dalam aksi final awal pagi tadi
Menerusi laporan Harian Metro, Pape Gueye menjadi wira jaringkan gol kemenangan pada minit ke-94 masa tambahan selepas bintang Maghribi, Brahim Diaz mensia-siakan peluang untuk memastikan kemenangan buat pasukan tuan rumah apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit akhir masa sebenar permainan.
Jurulatih Senegal, Pape Bouna Thiaw mengarahkan pemainnya keluar meninggalkan padang sebagai tanda protes terhadap sepakan penalti yang diberikan ke atas mereka sebelum kapten pasukan, Sadio Mane menjadi watak penting yang memujuk mereka untuk kembali.
Sepakan penalti itu diberikan susulan semakan VAR (video bantuan pengadil) oleh pengadil dari Congo, Jean-Jacques Ndala, selepas Diaz ditarik jatuh oleh bek kanan Senegal, El Hadji Malick Diouf, ketika mempertahankan sepakan sudut pada tambahan waktu lima minit masa kecederaan.
Pegawai dan pemain bertembung antara satu sama lain ketika pengadil merujuk skrin VAR di tepi padang dan sekali lagi apabila Senegal meninggalkan padang.
Selepas pemain kembali ke padang, Diaz telah mengambil sepakan penalti dengan melakukan sepakan gaya Panenka yang kemudiannya mudah ditangkap oleh penjaga gol Senegal, Edouard Mendy.

Penjaring gol kemenangan Senegal, Pape Gueye.
Image via AFPKejayaan Senegal meneruskan rekod hambar Maghribi dalam kejohanan
Kekalahan tuan rumah melihatkan rekod hambar berterusan Maghribi dalam kejohanan AFCON, yang hanya pernah dimenangi mereka sekali sebelum ini, 50 tahun lalu.
Senegal yang memenangi dua daripada tiga edisi terakhir, menghadiahkan kekalahan pertama kepada Maghribi 27 perlawanan antarabangsa tanpa tewas.
Rembatan padu Gueye gagal diselamatkan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou walaupun telah beraksi cemerlang sepanjang perlawanan menyelamatkan pintu gol Maghribi daripada dibolosi.
"Kami benar-benar mahu menang di sini. Ia perlawanan yang sangat sukar tetapi kami memberikan segala-galanya," kata Gueye.
Senegal telah menjaringkan gol dua minit ke selepas masuk waktu kecederaan menerusi kekecohan di hadapan gawang, namun jaringan itu dibatalkan selepas Abdoulaye Seck dilihat menolak Achraf Hakimi sebelum gol dijaringkan.
"Kami benar-benar kecewa untuk seluruh rakyat Maghribi. Apabila anda mendapat sepakan penalti pada minit terakhir, kemenangan kelihatan begitu hampir, tetapi akhirnya bola sepak menghukum anda.
"Kami mengucapkan tahniah kepada Senegal, walaupun apa yang ditunjukkan tentang bola sepak Afrika agak mengecewakan, mengambil kira segala yang berlaku ketika sepakan penalti itu diberikan." kata jurulatih Maghribi, Walid Regragui.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 