Selepas Rafizi, Giliran Nik Nazmi Pula Letak Jawatan Sebagai Menteri NRES
Nik Nazmi adalah Menteri Kabinet kedua yang mengumumkan peletakan jawatan selepas Rafizi Ramli turut membuat keputusan sama tengah hari tadi.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa 4 Julai 2025 selepas rakan sejawatnya Rafizi Ramli meletakkan jawatan Menteri Ekonomi terlebih dahulu
Menerusi pengumuman yang dikongsikannya di Facebook, Nik Nazmi memaklumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sejak dilantik ke dalam Jemaah Menteri, pertama sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Disember 2022-Disember 2023), dan seterusnya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (Disember 2023—Julai 2025), saya telah berusaha sebaik mungkin bersama Timbalan Menteri dan para penjawat awam yang berdedikasi untuk melaksanakan reformasi yang amat diperlukan.
"Kejayaan dua kementerian ini termasuklah pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] – Fasa 1, serta peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Malaysia juga menjadi antara negara terawal yang mengemukakan National Biodiversity Strategies and Action Plan (NBSAP) bagi membendung kemusnahan alam semula jadi.
"Pengurangan kadar penyahutanan yang ketara juga telah mendapat pengiktirafan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres.
"Hanya dalam beberapa minggu selepas dilantik, kami berjaya melaksanakan penyasaran semula subsidi elektrik di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) di Semenanjung Malaysia. Kami juga berjaya meluluskan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga di Dewan Rakyat. Dalam sektor air, kami telah memperkenalkan Tariff Setting Mechanism yang amat diperlukan.
"Pasukan NRES telah memulakan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dari peringkat paling asas, dan kini berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan ke Jemaah Menteri dan Parlimen.
"Namun begitu, saya sedar bahawa kedudukan saya ketika itu sebagai Naib Presiden KEADILAN adalah antara pertimbangan utama dalam pelantikan saya ke Kabinet.
"Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri," katanya.
Akan tumpukan perhatian berkhidmat untuk Setiawangsa
Dalam kenyataan itu, Nik Nazmi turut memaklumkan akan memberi fokus kepada kawasannya, Setiawangsa selepas peletakan jawatan sebagai menteri.
"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penjawat awam yang berwibawa, pasukan di pejabat saya yang cemerlang, serta semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat sivil yang telah banyak mengajar saya dan memungkinkan pelaksanaan pelbagai reformasi penting sepanjang tempoh ini.
"Kami sentiasa berusaha untuk mengambil pendekatan yang terbuka dan berunding dengan semua pihak dalam merangka dasar dan memperkenalkan undang-undang.
"Saya kini menantikan peluang untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, serta menumpukan perhatian kepada khidmat di kawasan saya di Setiawangsa.
"Mengungkapkan semula kata-kata mendiang Ahli Parlimen Britain, Tony Benn: 'Saya meninggalkan Kabinet untuk memberikan lebih masa kepada politik dan khidmat awam," tulis kenyataan itu.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik


Cover image via 