Sandoz Malaysia Jalin Kerjasama Dengan Sunway Medical Centre, Perluas Akses Rawatan Limfoma Menerusi Biosimilar
Difahamkan, kerjasama strategik ini bertujuan menangani jurang kesedaran dan keyakinan terhadap terapi biosimilar.
Cover image via Iqmal Hazzwan/SAYS SeismikFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sandoz, peneraju global dalam ubat-ubatan mampu milik, hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sunway Medical Centre bagi memperkasakan pendidikan pesakit serta memperluas penggunaan ubat-ubatan biosimilar, bermula dengan penjagaan kanser limfoma di Malaysia
Kerjasama strategik ini bertujuan menangani jurang kesedaran dan keyakinan terhadap terapi biosimilar yang selama ini mengehadkan akses pesakit kepada rawatan lanjutan. Langkah ini juga mencerminkan komitmen bersama dalam menyokong sistem penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi, mampu milik, dan mampan.
Di Malaysia, limfoma bukan Hodgkin merupakan antara kanser yang paling kerap dikesan, dengan lebih 2,000 kes baharu didiagnosis setiap tahun. Kebanyakan pesakit dikesan pada peringkat akhir, di mana terapi biologi menjadi komponen penting dalam rawatan. Walau bagaimanapun, kos dan kekangan sistem sering menjadi penghalang bagi pesakit untuk memulakan atau meneruskan rawatan.
MoU yang berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2026 ini akan memfokuskan kepada:
- Program Kesedaran Awam: Seiring dengan Bulan Kesedaran Kanser Darah Sedunia.
- Pendidikan Klinikal: Penganjuran simposium perubatan untuk profesional kesihatan.
- Sokongan Pesakit: Pembangunan kandungan pendidikan dan sesi libat urus pesakit bagi membina keyakinan terhadap rawatan biosimilar.

Biosimilar: Alternatif berkualiti dan mampu milik
Ketua Negara Sandoz Malaysia, Singapura, dan Brunei, Christine Chong, menjelaskan bahawa ubat-ubatan biosimilar menawarkan keberkesanan klinikal dan tahap keselamatan yang sama dengan produk biologi rujukan.
"Akses bukan sekadar soal ketersediaan stok, tetapi bergantung kepada kesedaran dan keyakinan doktor serta pesakit. Kepimpinan Pusat Perubatan Sunway dalam kecemerlangan klinikal menjadikan mereka rakan kongsi yang sangat bernilai untuk meningkatkan penjagaan limfoma di Malaysia," ujar beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Medical Centre, Dr. Seow Vei Ken, pula menegaskan bahawa kolaborasi ini membolehkan hospital kekal di hadapan dalam inovasi perubatan.
"Menerusi kerjasama ini, kami komited menyediakan pendidikan yang melengkapkan komuniti dengan pengetahuan untuk menerima terapi baharu. Matlamat kami adalah untuk menyampaikan rawatan kepada lebih ramai pesakit sambil menyokong kemajuan penjagaan kesihatan yang mampan di Malaysia," kata beliau.
Untuk rekod, tahun 2026 merupakan detik bersejarah bagi Sandoz kerana syarikat itu menyambut ulang tahun warisan global yang ke-140, serta ulang tahun ke-20 sejak mempelopori ubat biosimilar pertama di dunia.
Dengan lebih banyak ubat biologi yang akan kehilangan tempoh eksklusif dalam beberapa tahun akan datang, Malaysia mempunyai peluang besar untuk memanfaatkan penggunaan biosimilar bagi meningkatkan kecekapan sistem kesihatan negara secara keseluruhan.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



