RON95 Dijual Pada Harga RM1.99 Seliter Bermula 30 September, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu
Difahamkan, manfaat ini akan dinikmati lebih awal oleh anggota polis dan tentera serta penerima STR.
Cover image via Anwar Ibrahim (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Semua rakyat Malaysia akan dapat membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter mulai 30 September 2025 menerusi inisiatif baharu kerajaan BUDI95
Dalam satu pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa setiap rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah akan secara automatik layak mendapat subsidi, tanpa mengira tahap pendapatan mereka.
Anwar menyifatkan BUDI95 sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan subsidi dinikmati secara eksklusif oleh rakyat Malaysia.
"Semua warganegara, tanpa mengira tahap pendapatan, yang mempunyai lesen memandu aktif akan layak menikmati manfaat BUDI95 secara automatik. Inilah keistimewaan hanya untuk rakyat Malaysia.
"Penjimatan daripada peralihan kepada BUDI95 ini akan diagihkan semula untuk manfaat rakyat seperti melalui bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Namun, tumpuan Kerajaan kekal kepada menambah baik perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan prasarana asas," katanya.
Bagi golongan yang tidak layak seperti bukan warganegara, harga RON95 yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahap tanpa subsidi, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.

Berikut adalah inisiatif kerajaan bagi memudahkan proses rakyat memanfaatkan subsidi RON95:
- Pertama, tiada pendaftaran diperlukan.
- Kedua, hanya satu langkah tambahan, iaitu pengesahan dengan MyKad untuk urusan membeli RON95 pada harga bersubsidi.
- Ketiga, terminal pembaca MyKad disediakan di dalam kedai stesen minyak dan juga di terminal pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan.
- Terdapat pilihan pembayaran digital e-dompet TNG dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel oleh Petronas dan CaltexGo.

Pelaksanaan BUDI95 dibuka secara berperingkat
Pelaksanaan program BUDI95 akan dijalankan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan yang mendadak:
- Pada 27 September 2025 (Sabtu), sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300 ribu anggota tentera dan polis.
- Pada 28 September 2025 (Ahad), sistem BUDI95 dibuka awal kepada penerima STR yang merupakan golongan B40.
- Pada 30 September 2025 (Selasa), sistem BUDI95 dibuka kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.

Menurut kenyataan itu, semua rakyat layak menerima siling kelayakan bulanan RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan.
Pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.
Siling kelayakan bulanan ini telah ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan, di mana lebih 99% pemandu kenderaan persendirian di Malaysia tidak melepasi jumlah ini.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



