RM50.7 Juta! Ejen Ali The Movie 2 Ungguli Carta Filem Animasi Tempatan
Dengan jumlah kutipan terbaharu ini, filem tersebut terus kekal memperkukuhkan kedudukannya sebagai pemacu utama industri animasi Malaysia.
Cover image via Primeworks StudiosFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) yang telahpun meraih status sebagai filem animasi tempatan nombor satu sejak kutipan mencecah RM40 juta minggu lalu, kini meneruskan prestasi cemerlang dengan kutipan terkini sebanyak RM50.7 juta selepas 18 hari tayangan
Pencapaian ini membuktikan bahawa animasi tempatan semakin mendapat pengiktirafan dan tempat di hati penonton, sekali gus membuka peluang lebih luas bagi karya animasi Malaysia (AniMY) untuk terus berkembang dan diangkat ke peringkat yang lebih tinggi!
Sejak tayangan bermula pada 22 Mei 2025, filem ini menerima sambutan hangat daripada pelbagai lapisan penonton, yang merangkumi seisi keluarga, remaja hinggalah peminat setia francais. Mereka memuji mutu produksi teknikal yang bertaraf antarabangsa, naratif yang menyentuh hati serta pengalaman sinematik mengujakan yang mendorong ramai untuk menontonnya berulang kali.
Menurut pengarah filem ini, Usamah Zaid Yasin, kejayaan yang dicapai adalah hasil daripada sokongan luar biasa para peminat dan kepercayaan mereka terhadap karya tempatan.
"Alhamdulillah, saya bersyukur filem EATM2 mendapat sambutan yang luar biasa dari penonton. Saya juga sangat berterima kasih kepada semua ahli pasukan dari Primeworks Studios dan WAU Animation yang saban hari berusaha keras untuk mempromosikan filem ini sejak tayangan bermula.
"Mereka berani mencuba pelbagai cara promosi baharu untuk memenangi hati penonton dan bagi saya ia komponen yang amat penting yang melengkapkan lagi strategi pemasaran filem yang telah kami hasilkan.
"Tidak lupa juga pada peminat-peminat tegar yang memberikan sokongan dan dorongan terus menerus, terima kasih kerana memilih filem kami untuk anda sekeluarga," katanya.
Image via Primeworks Studios
Berjaya menembusi pasaran Singapura pada 5 Jun lalu dan akan ditayangkan di Indonesia pada 27 Jun ini
Bagi Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, pencapaian ini menggambarkan bagaimana filem animasi tempatan telah mencapai ke peringkat yang lebih tinggi.
"Kejayaan ini benar-benar menunjukkan bahawa animasi tempatan mampu mencipta impak besar apabila mendapat sokongan padu daripada penonton.
"Lebih daripada sekadar kutipan box office, pencapaian EATM2 membuktikan keyakinan terhadap kualiti kandungan buatan Malaysia dan memberi semangat baharu untuk kami terus melabur dalam industri animasi tempatan serta melebarkan sayap Ejen Ali ke peringkat antarabangsa bersama rakan-rakan strategik terpilih," katanya.
Selain kejayaan di Malaysia dan Brunei, EATM2 turut berjaya menembusi pasaran Singapura bermula 5 Jun lalu dan dijadualkan untuk tayangan di Indonesia pada 27 Jun.
Pembukaan tayangan baharu ini satu langkah penting dalam membawa animasi Malaysia ke pentas serantau, dan diharap akan membuka peluang perniagaan baharu dalam sektor pelesenan & pembarangan (licensing & merchandising) melalui penjualan produk berjenama Ejen Ali seperti pakaian, peralatan sekolah, permainan dan sebagainya.
Pengarah filem EATM2, Usamah Zaid Yassin (kiti) bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Puan Nini Yusof
Image via Primeworks Studios
Filem ini masih ditayangkan di pawagam seluruh negara. Ayuh rakyat Malaysia, teruskan sokongan anda! Bersama-sama kita tunaikan aspirasi untuk mengangkat EATM2 sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman!
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik

