“Rindu Gandingan Fattah & Amira?” – Poskad Cinta Dari Istanbul Kini Ditayangkan Di UTV
Naskhah kali ini sekali lagi mempertaruhkan gandingan serasi Fattah Amin dan Amira Othman.
Cover image via UTVFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Selepas kejayaan luar biasa naskhah terdahulu di Auckland, platform penstriman tempatan, UTV, kini membawakan kesinambungan yang dinanti-nantikan melalui Filem TV (FTV), Poskad Cinta Dari Istanbul
Mula ditayangkan sejak semalam, naskhah ini sekali lagi mempertaruhkan gandingan serasi Fattah Amin dan Amira Othman.
Menurut Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Adzliana Hasan, sekuel ini diterbitkan sebagai menghargai sokongan padu peminat yang sebelum ini menjadikan Poskad Cinta Dari Auckland sebuah fenomena tontonan tertinggi di platform tersebut.

Jika sebelum ini penonton menyaksikan bibit cinta mereka bermula, Poskad Cinta Dari Istanbul membawa penonton menyelami alam perkahwinan watak Mira (Amira Othman) dan Din (Fattah Amin). Ketenteraman hidup mereka mula bergelora apabila Mira menerima poskad misteri bertanda huruf "E" yang membawa mereka terbang ke Istanbul.
Kejutan muncul apabila mereka bertemu dengan Effa (Nora Danish), iaitu cinta pertama Din yang sedang mengharungi ujian hidup yang berat. Pertemuan ini bukan sekadar mengimbau kenangan lama, malah meletakkan kepercayaan Mira terhadap Din di persimpangan dilema.
"Watak Din kali ini lebih kompleks kerana dia perlu berdepan dengan masa lalu sambil mempertahankan rumah tangganya. Ia memberi dimensi baharu dalam lakonan saya," ujar Fattah Amin mengenai cabaran emosi dalam naskhah ini.
Barisan pelakon 'All-Star' & kejutan musim seterusnya

Selain Fattah, Amira, dan Nora Danish, FTV arahan Izuan Mokhtar ini turut dimeriahkan dengan watak-watak komedi yang dibawakan oleh Sherry Alhadad, Bell Ngasri dan komposer terkenal, Ajai. Gabungan elemen romantis dan komedi ini dijangka akan terus mengukuhkan kedudukan UTV sebagai platform Over-The-Top (OTT) pilihan rakyat Malaysia.
Lebih menarik, Adzliana tidak menolak kemungkinan siri "Poskad Cinta" ini akan diteruskan ke destinasi ketiga sebelum penghujung tahun 2026 dengan latar musim yang berbeza.
Info Tayangan:
- Platform: Aplikasi UTV
- Genre: Komedi Romantik
- Durasi: 1 Jam 52 Minit
- Harga Langganan: RM9.50

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



