Restoran ‘Mamak’ Kena Denda RM5,500 Sebab Jual Kari Kepala Ikan ‘Basi’
Ujian makmal yang dijalankan ke atas hidangan itu menunjukkan keputusan ia telah tercemar teruk.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang penjaga restoran di Penampang, Sabah dikenakan denda RM5,500 selepas mengaku bersalah menjual kari kepala ikan yang didapati mengandungi bakteria Koliform yang berlebihan
Mohamed Yakoob Mohamed Shaik Allaudeen, 39, telah membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Majistret pada 19 November.
Menerusi laporan Daily Express, pertuduhan itu dilakukan susulan pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh pegawai kesihatan pada pagi 7 Julai di restoran Nasi Kandar Anak Mami.
Semasa pemeriksaan, pegawai telah memilih dua hidangan untuk diambil sampel, termasuk satu hidangan kari kepala ikan yang berharga RM26. Sampel tersebut telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu untuk dianalisis.
Keputusan makmal mendedahkan bahawa kari kepala ikan tersebut telah tercemar teruk, mencatatkan tahap bakteria Koliform sebanyak 110 MPN/g.
Angka yang didapati adalah sangat tinggi, jauh melebihi had yang dibenarkan iaitu hanya 5 MPN/g yang ditetapkan di bawah Peraturan Makanan Malaysia 1985, menjadikan makanan tersebut tidak sesuai untuk dimakan.
Sebaliknya, sampel kedua yang diuji mencatatkan tahap Koliform yang lebih rendah iaitu 24 MPN/g dan bebas daripada E. coli.

Pihak pendakwaan berhujah perkara ini menunjukkan corak pengabaian yang berulang dan bukannya kesilapan sekali sahaja
Semasa prosiding, pihak pendakwaan menekankan bahawa ini bukanlah insiden terpencil.
Mahkamah diberitahu bahawa premis tersebut telah menjadi subjek aduan awam sebelum ini mengenai piawaian kebersihan yang buruk, termasuk dakwaan makanan dibiarkan tanpa penutup, terdedah kepada lalat dan kawasan penyediaan yang tidak bersih.
Yakoob, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman yang lebih ringan, mendakwa kepala ikan yang digunakan dalam hidangan itu dibeli segar.
Walau bagaimanapun, majistret mengenakan denda RM5,500 dengan hukuman penjara sembilan bulan sekiranya dia gagal membayar.
Kesalahan yang didakwa di bawah Akta Makanan 1983 itu membawa hukuman maksimum denda RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 