Raja Muda Selangor & Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Santuni Penghuni ‘Rumah Kita’ Sempena Ziarah Ramadan 2026
Keberangkatan Raja Muda Selangor Ke Rumah Kita simbolik keprihatinan keluarga Diraja terhadap kebajikan komuniti.
Cover image via Selangor Youth Community - SAY CommunityFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, bersama Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini berkenan mencemar duli menyantuni penghuni di Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Rumah Kita, Pandan Jaya sempena Program Ziarah Ramadan 2026
Inisiatif murni ini dianjurkan oleh Selangor Youth Community (SAY) dengan kerjasama Yayasan Raja Muda Selangor, bertujuan memperkukuh keprihatinan sosial serta menggerakkan sektor korporat melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang berimpak tinggi.
Dalam siri ziarah tersebut, Baginda meluangkan masa berinteraksi secara mesra dengan para penghuni wanita dan bayi, serta menyampaikan sumbangan peribadi buat mereka. Baginda turut meninjau kemudahan kediaman yang telah dinaiktaraf hasil daripada aktiviti pra-program yang dilaksanakan sepanjang Februari lalu, termasuk kerja-kerja gotong-royong dan mengecat semula bangunan.
"Rumah Kita" yang beroperasi sejak 2015, memainkan peranan kritikal dalam menyediakan perlindungan sementara, sokongan psikososial, serta penjagaan materniti buat wanita yang menghadapi pelbagai ujian hidup, termasuk mangsa keganasan.


Sokongan padu sektor korporat dan swasta
Kejayaan program tahun ini dipacu oleh sumbangan luar biasa daripada pelbagai organisasi. Antara rakan strategik utama yang terlibat termasuklah:
- Nestlé Malaysia: Sumbangan bernilai RM70,000 beserta bekalan produk selama setahun.
- Bridge Data Centres Malaysia: Dana CSR berjumlah RM35,000.
- Worldwide Holdings Berhad: Sumbangan bernilai RM33,000.
- FGV IFFCO Malaysia: Pembinaan mini surau, baju raya, dan dana berjumlah RM32,622.
- Eskayvie Sdn Bhd: Barangan keperluan ibu hamil bernilai RM20,000.
- Khind Malaysia: Peralatan elektrik bernilai RM8,040.
Turut memberi sokongan ialah BookXcess, FM Group, NGO Kita Haid, FRWRD serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang menyediakan sokongan logistik dan barangan keperluan.
Keberangkatan Baginda berdua mencerminkan komitmen institusi Diraja Selangor yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat, sekali gus mengukuhkan jambatan hubungan antara pemimpin, sektor korporat dan golongan memerlukan.


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



