Pusat Beli-Belah 118 Mall Bakal Dibuka Kepada Orang Ramai Mulai Ogos Ini
118 Mall boleh diakses mudah dari kawasan Jalan petaling dan Stadium Merdeka.
Cover image via 118 MallFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kawasan Merdeka 118 bakal membuka sebuah lagi tarikan baharu iaitu 118 Mall Ogos ini
Terletak di presint bersejarah Merdeka 118, lokasi menarik yang menggabungkan warisan sejarah ibu kota dengan gaya hidup serba baharu yang moden kini berada di peringkat akhir transformasinya.
Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, Datuk Izwan Hasli Ibrahim berkata, Merdeka 118 sedang berkembang sebagai sebuah presint bertaraf global dan antara destinasi baharu paling menarik di Kuala Lumpur, menghimpunkan pelbagai tarikan serta pengalaman dalam satu lokasi yang ikonik.
"Tumpuan utamanya ialah 118 Mall, yang memainkan peranan penting dalam melengkapkan pengalaman keseluruhan presint ini dengan menghubungkan elemen peruncitan, hospitaliti, budaya, komuniti dan mercu tanda yang menjadikannya sebuah destinasi dinamik dan lancar, melambangkan identiti unik Malaysia.
"Dengan kadar komitmen ruang peruncitan yang telah mencecah lebih 70 peratus, kami teruja untuk menyumbang kepada Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan menawarkan pengalaman bertaraf dunia," katanya.
Ketua Peruncitan 118 Mall, Sue Wang pula meluahkan rasa teruja untuk menyaksikan para peruncit, jenama dan rakan niaga mula berpindah masuk dan beroperasi, seiring dengan pembukaan 118 Mall kelak.
"Kami juga amat menitikberatkan pemilihan gabungan jenama yang terkurasi rapi, agar selari dengan identiti unik 118 Mall sebagai nadi Presint Merdeka 118.
"Inisiatif ini juga turut memberikan para rakan niaga kami platform yang bermakna sekali gus mewujudkan suasana yang hidup, bertenaga serta mengalu-alukan kehadiran semua," katanya.

The Atmosphere di Aras 4 menampilkan kubah kaca seluas 88 meter dan ruang acara seluas 20,000 kaki persegi turut dilengkapi skrin LED.
Image via 118 MallMemiliki beberapa ciri utama yang menarik
Antaranya ialah Malaysian Artisan District, sebuah ruang seluas 80,000 kaki persegi yang meraikan keindahan seni dan kreativiti tempatan.
Ianya bukan sekadar ruang aras runcit semata-mata malah merupakan sebuah galeri gaya hidup yang menghimpunkan cita rasa, seni kraf tangan dan hasil kreatif tempatan.
Tumpuan utamanya ialah Makanizm Food Hall di Aras 3, sebuah destinasi menjamu selera seluas 40,000 kaki persegi yang menyajikan kepelbagaian dan keunikan sajian Malaysia.
118 Mall turut dilengkapi dengan The Atmosphere, sebuah piazza acara seluas 20,000 kaki persegi yang direka khas untuk menganjurkan pelbagai acara meriah terletak di aras 4.
Diterangi dengan cahaya matahari semula jadi yang menembusi kubah kaca spektakular berdiameter 88 meter, ruang lapang ini menggabungkan elemen dalaman dan luaran secara harmoni.
Ruang ini dilengkapi dengan tiga skrin LED berdefinisi tinggi bersaiz besar yang mengelilingi sebahagian bawah kubah serta ruang piazza, mampu memaparkan seni digital imersif dan kandungan secara langsung, sekali gus mencipta latar belakang dinamik untuk pelbagai acara, daripada pertunjukan fesyen hingga festival komuniti.
Ia juga merupakan ruang yang direka untuk pengunjung meluangkan masa sambil menikmati suasana persekitaran dari perspektif yang baharu dan mengujakan.

Pemandangan dari Malaysian Artisan District di Aras 3, menghadap ke arah kanopi yang dipenuhi cahaya dan dataran acara.
Image via 118 MallTurut menghimpunkan gabungan jenama antarabangsa, jenama gaya hidup premium serta jenama-jenama tempatan yang digemari ramai
118 menawarkan pelbagai pilihan kafe dan restoran seperti Kenny Hills Café, ZUS Coffee, Eight Ounce Coffee, Oriental Kopi, Serai Premium, Dolly DimSum, Cili Kampung dan banyak lagi.
Pusat beli-belah ini turut menampilkan konsep flagship jenama fesyen dan gaya hidup seperti Skechers dan Decathlon, di samping Habib Jewels, jenama barang kemas terkemuka Malaysia yang terkenal dengan seni ketukangan halusnya.
Konsep gaya hidup ini turut diperkukuhkan lagi dengan kehadiran jenama-jenama antarabangsa terkenal seperti Coach, Hackett London, Cole Haan serta jenama sukan seperti Asics dan LiNing.
Bagi memenuhi keperluan harian, 118 Mall juga menempatkan jenama-jenama premium seperti Village Grocer, HappiKiddo dan Babyshop untuk seisi keluarga.
SOGO118, sebuah evolusi terbaharu jenama ikonik SOGO yang menggabungkan konsep kontemporari yang lebih dinamik bagi memenuhi cita rasa pengunjung dan penggemar beli-belah masa kini turut tersedia di 118 Mall.
Gedung konsep pelbagai jenama ini membawakan bar Matcha yang baharu diperkenalkan di pasaran, di samping jenama kecantikan dari Korea, Jepun dan China.

Malaysian Artisan District menampilkan ruang berkonsep terbuka yang menonjolkan kreativiti dan hasil daripada bakat tempatan yang terbaik.
Image via 118 MallLike Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



