Polis Sahkan Ada Aktiviti Bogel Pada Malam Program eHATI
Program motivasi rumah tangga (eHATI) itu berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam pada 27 hingga 30 September tahun lalu.
Cover image via Berita HarianFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Empat individu disahkan polis melakukan aktiviti berbogel pada malam program eHATI di Shah Alam tahun lalu
Menerusi laporan Berita Harian, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mendedahkan kegiatan itu terjadi di dalam majlis yang diadakan pada waktu malam dikenali sebagai 'Queens Night' anjuran syarikat motivasi terbabit.
"Pada malam Queens Night iaitu hari terakhir program eHATI, memang ada kegiatan bogel dilakukan empat individu membabitkan fasilitator dan peserta program berkenaan.
"Kita juga mengesan ada penjawat awam yang menyertai program ini dan siasatan lanjut masih dijalankan, jadi beri kami ruang.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan; Seksyen 294 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.
Sebelum ini, pengasas program motivasi eHATI yang juga pasangan suami isteri bersama empat individu lain berusia antara 26 hingga 57 tahun direman tiga hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis selepas semua suspek, empat wanita dan dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam semalam.

Syarikat motivasi terbabit menawarkan program dengan harga pakej bernilai sehingga RM9,000
Menurut Hussein, pakej-pakej yang ditawarkan pada program itu melibatkan Pakej A dengan harga sekitar RM6,000 dan Pakej B dengan bayaran kira-kira RM9,000.
"Pakej B ada tambahan program dikenali sebagai 'Queens Night' dan aktiviti bogel itu dipanggil sebagai 'rebirth'.
"Polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan pada program berkenaan termasuk beberapa cecair minuman yang ada pada majlis itu.
"Kita sudah ada semua 50 senarai peserta dan setakat ini 30 individu sudah hadir memberi keterangan.
"Siasatan juga mendapati program ini tidak hanya memfokuskan individu beragama Islam, sebaliknya dianjurkan kepada semua," katanya.
Tambah Hussein, pihaknya juga sudah menghantar sampel cecair yang dirampas kepada Jabatan Kimia bagi mengetahui kandungannya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



