Polis Minta Orang Ramai Waspada ‘Phishing’ Jemputan Majlis Berbuka Puasa Percuma Di WhatsApp
Hati-hati, jangan main tekan je link random!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) tidak menolak kemungkinan wujud penipuan menggunakan taktik pautan palsu berselindung di sebalik tawaran berbuka puasa percuma atau sumbangan Ramadan
Menerusi laporan Harian Metro, kegiatan ini dilakukan bertujuan memperdaya mangsa bagi mendapatkan maklumat peribadi dan perbankan.
Pengarah JSJK, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata hasil semakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati setakat ini tiada rekod laporan polis atau kes direkodkan secara spesifik berkaitan pautan penipuan jemputan berbuka puasa seperti yang didakwa.
"Bagaimanapun, JSJK tidak menolak kemungkinan wujud percubaan penipuan menggunakan taktik pautan palsu (phishing) yang menyamar sebagai jemputan majlis, tawaran berbuka puasa percuma atau sumbangan Ramadan bagi memperdaya mangsa untuk mendapatkan maklumat peribadi dan perbankan.
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menekan pautan yang diterima daripada sumber tidak dikenali atau meragukan dan tidak berkongsi maklumat peribadi, nombor TAC, kata laluan perbankan atau butiran kad kepada mana-mana pihak," katanya.

Pengarah JSJK, Datuk Rusdi Mohd Isa.
Image via NSTPLapor ke saluran yang sah jika menemui pautan yang mencurigakan
Menurut Rusdi, orang ramai juga perlu membuat semakan dengan pihak penganjur yang sah sebelum mempercayai sebarang tawaran atau klik pada sebarang pautan.
"️Menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 atau membuat laporan polis dengan segera sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan.
"JSJK sentiasa memantau trend penipuan yang mengambil kesempatan atas musim perayaan atau bulan Ramadan dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat unsur jenayah," katanya.
Katanya, orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang terlalu baik untuk dipercayai.
Terdahulu, Konsultan Scam, Rahmat Fitri melalui akaun Tiktoknya mendedahkan cubaan sindiket yang membuat jemputan majlis berbuka puasa dengan menyertakan pautan bagi memuat turun fail APK (Android Package Kit) yang tidak diminta.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 