Polis Hidap Skizo Diberkas Lepas Dikejar Sekitar KL, Langgar Lari Seorang Anggota Trafik
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang pegawai polis yang sedang menjalani rawatan untuk skizofrenia telah ditahan semalam, 13 April, dalam satu kejadian kejar-mengejar di Kuala Lumpur
Inspektor berusia 40 tahun itu, yang kini sedang bercuti sakit sementara menunggu persaraan yang disarankan, telah ditahan pada jam 3.45 petang di Chan Sow Lin selepas satu kejadian kejar-mengejar yang bermula di Jalan Cheras.
Menerusi laporan New Straits Times, ketua polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata suspek dicari selepas didakwa melanggar seorang anggota polis yang bertugas di Jalan Sultan Yahya Petra pada Jumaat lalu, 10 April.
"Pemandu itu melarikan diri tanpa memberikan bantuan. Anggota trafik terbabit cedera di kepala, tapak tangan kanan dan tulang rusuk serta menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur," katanya.

Kejadian langgar lari itu, yang dirakam CCTV dan tersebar di media sosial, memaparkan sebuah Perodua Axia terbabas dari jalan raya dan melanggar pegawai yang sedang mengawal lalu lintas
Menurut laporan Bernama, Konstabel Roslan Salleh, 27 tahun, telah dilanggar dari belakang semasa kejadian pada pukul 10.47 malam Jumaat lalu.
Polis menemui kenderaan suspek petang semalam, sebelum suspek cuba melarikan diri. Suspek dilihat memandu secara berbahaya dan melanggar beberapa kenderaan termasuk sebuah Mercedes-Benz, Proton Saga dan sebuah kereta peronda polis.
Tambahnya, sebanyak tujuh laporan mengenai kejadian semalam telah dibuat setakat ini, melibatkan lima kenderaan awam, satu MPV polis dan sebuah motosikal. Suspek kini telah ditahan. Ujian pernafasan menunjukkan keputusan negatif sementara keputusan ujian air kencing masih menunggu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara melulu dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam, yang memperuntukkan hukuman penjara serta denda.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Razif Jamaluddin di talian 019-4482852 atau Hotline Polis Trafik Kuala Lumpur di 03-2026 0267.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 