Petugas Perubatan & Paramedik Mesti Ada Semasa Acara Sukan Sekolah – Fadhlina
Perkara ini ditegaskan susulan kematian mengejut seorang Pelajar Tingkatan Empat ketika perlawanan Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Menteri Pendidikan mahu setiap acara sukan perlu ada petugas perubatan yang bersedia
Menteri Pendidikan, Fadhliina Sidek berkata semua sekolah mesti mempunyai petugas perubatan semasa acara sukan bagi persediaan keselamatan dan kebajikan pelajar.
Menerusi laporan Harian Metro, beliau juga menyebut penting bagi pelajar yang terlibat dalam aktiviti sukan telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan mengingatkan ibu bapa untuk memaklumkan kepada sekolah tentang sebarang keadaan kesihatan yang mungkin ada pada anak mereka.
"Dari aspek kesihatan, anak-anak ini sebenarnya lebih awal kita telah pun peringatkan dan laporan (perubatan) itu sebenarnya kita minta daripada ibu bapa untuk memaklumkan kepada kita.
"Jadi untuk kehadapan ini, tumpuan kita adalah soal keselamatan keseluruhan, maknanya bergantung kepada yang disebut sebagai jenis sukan itu dan kemudian persiapan sebagai perubatan iaitu (menempatkan) pasukan perubatan yang pastinya dipersiapkan juga dalam konteks setiap perlawanan.
"Pada masa sama, memperingatkan anak-anak kita dan jurulatih kita tentang keselamatan yang terus kita perlu tambah baik," katanya.

Punca kematian pelajar Tingkatan Empat didapati disebabkan pendarahan dalaman otot pinggul
Peringatan daripada Menteri Pendidikan itu adalah susulan kematian mengejut pelajar Tingkatan Empat, Allahyarham Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, yang meninggal dunia ketika perlawanan Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan 2025 di Ipoh, Perak Jumaat lalu.
Menurut laporan Berita Harian, hasil bedah siasat pelajar Sekolah Menengah Sains (SMS) Johor itu mendapati punca kematian adalah disebabkan pendarahan dalaman otot pinggul.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata berdasarkan maklumat awal, mangsa rebah di hadapan khemah sekitar jam 10.30 pagi ketika ingin masuk ke padang bagi sesi separuh masa kedua perlawanan ragbi antara pasukan sekolahnya dengan SMS Rembau.
Hasil pemeriksaan penolong pegawai perubatan bertugas ketika kejadian, mangsa disyaki terkena sawan berikutan keadaan badannya menggigil dan keras atau kejang. Bantuan pernafasan kecemasan (CPR) diberikan sehingga mangsa dibawa ke hospital, tetapi disahkan meninggal dunia jam 11.18 pagi hari kejadian.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 