Perodua Lancar Model QV-E, EV Pertama Buatan Malaysia Dengan Harga RM80,000 Seunit
QV-E dilengkapi dengan teknologi keselamatan canggih, termasuk sistem pengesanan kanak-kanak.
Cover image via New Straits TimesFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) secara rasminya telah memasuki pasaran kenderaan elektrik dengan pelancaran kenderaan elektrik (EV) pertamanya, QV-E
Menerusi laporan New Straits Times, kereta itu bermula pada harga RM80,000, tidak termasuk bateri, yang perlu didapatkan secara berasingan.
QV-E, yang bermaksud "Quest for Visionary Electric Vehicle", dibangunkan dengan pelaburan sebanyak RM800 juta dan dikeluarkan di kilang Smart Mobility Plant baharu Perodua di Sungai Chih, Selangor.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad mengumumkan bahawa kapasiti pengeluaran semasa ialah 500 unit sebulan dengan rancangan untuk meningkatkan sehingga 3,000 unit sebulan menjelang suku ketiga tahun 2026.

Dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri baharu
Kenderaan ini dikuasakan dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) 52.5kW, yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 445km, bergantung pada gaya pemanduan.
QV-E dilengkapi dengan teknologi keselamatan canggih, termasuk sistem pengesanan kanak-kanak. Ciri ini memantau tempat duduk belakang dan ruang kaki untuk pergerakan dan tanda-tanda vital (seperti pernafasan), memberi amaran kepada pemandu jika kanak-kanak atau haiwan peliharaan ditinggalkan, walaupun terdapat sesuatu yang menutupi.
"Akhirnya, model ini adalah hasil kerjasama rakyat Malaysia untuk mencipta sesuatu yang unik milik kita, daripada reka bentuk hingga aspek kejuruteraan," ujar Zainal.

Bagi menangani kebimbangan pengguna tentang jangka hayat dan kos bateri, Perodua telah memperkenalkan konsep penyediaan 'Bateri sebagai Perkhidmatan'
Ini bermakna badan kereta dijual secara berasingan daripada bateri. Yuran langganan bulanannya ialah RM297, termasuk 8% SST. Untuk kemudahan pengguna, yuran ini digabungkan dalam satu pembayaran bersama ansuran pinjaman kereta bulanan.
Sebagai contoh, tempoh pinjaman sembilan tahun akan menghasilkan jumlah komitmen bulanan sebanyak RM1,185, yang terdiri daripada ansuran kereta RM910 dan yuran bateri RM275.
Untuk tempoh yang lebih pendek, jumlah ini meningkat kepada RM1,395 selama tujuh tahun dan RM1,775 selama lima tahun.
Sebagai alternatif, bagi mereka yang memilih pembelian tunai, satu-satunya kos berterusan ialah langganan bulanan berasingan RM275 untuk bateri.

Penyewaan bateri dengan Perodua tidak berakhir apabila bayaran kereta telah dijelaskan sepenuhnya
Walaupun selepas anda memiliki kereta sepenuhnya, bateri kekal sebagai komponen yang dilanggan. Oleh itu, pemilik perlu terus membuat pembayaran langganan bulanan melalui aplikasi P-Circle Perodua.
"Konsep ini adalah penyelesaian kami ke arah mengurangkan kebimbangan pemilik apabila memiliki kenderaan elektrik dengan bateri.
"Dengan menawarkan perkhidmatan ini, kami akan dapat menawarkan jaminan seumur hidup ke atas bateri untuk ketenangan fikiran pelanggan kami," jelas Zainal.
QV-E tersedia dalam dua warna, Ice Blue dan Caviar Grey, boleh didapatkan di kedai Perodua terpilih. Ia disasarkan terutamanya kepada golongan berpendapatan sederhana dan mereka yang mencari kenderaan kedua untuk perjalanan harian atau perjalanan hujung minggu.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



