Pernah Jadi Banduan, Bapa Dua Anak Kini Pegang Ijazah Berharap Dapat Tebus Kesalahan Lalu
Lelaki itu kini memegang Ijazah Sarjana Sains Kemasyarakatan dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang bapa berharap ijazah yang berjaya diperolehnya dapat pulihkan maruah diri dan tebus kesalahan lampaunya yang terpalit dengan dadah
Menerusi laporan Harian Metro, lelaki itu, Mohd Khairul Ab Aziz, 43, berkata kejayaan itu juga berpunca hasil dorongan daripada keluarga, pihak Jabatan Penjara Malaysia dan tenaga pengajar di universiti.
"Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian diri tapi bagi pulihkan maruah saya sebagai seorang bekas banduan.
"Sebagai bapa kepada dua anak yang kini berusia 14 dan 19 tahun, saya harap ijazah ini mampu tebus kesalahan lalu kepada mereka," katanya.
Berasal dari Bukit Mertajam, Mohd Khairul berkata selepas ditahan pada 2016 atas kesalahan berkaitan dadah, dia terdetik menyambung pengajiannya ketika mengikuti sebuah program bersama Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) sewaktu dalam tahanan.
Katanya, apabila mendengar pengisian dalam program itu, hatinya tekad ingin berubah tambahan pula pelbagai 'jenis' orang yang ditemui ketika berada dalam tahanan.
"Ada yang lebih 34 kali keluar dan masuk penjara, itulah yang bermain dalam fikiran dan saya tidak mahu jadi seperti itu.
"Kemudian saya mendaftar bagi menyambung pengajian pada 2020 di Penjara Seberang Perai iaitu lima bulan sebelum saya dibebaskan," katanya.

Menghadapi pelbagai ujian ketika dalam pengajian
Menurut Mohd Khairul, sepanjang tempoh dipenjara, dia menghadapi pelbagai cabaran terutamanya kekangan menggunakan akses internet bagi belajar yang hanya diberi selama tiga puluh minit setiap sesi.
"Hampir setiap malam saya duduk di pagar sel hanya ditemani sorotan cahaya lampu koridor bagi menelaah bahan rujukan.
"Bersyukur apabila yuran pengajian ditanggung adik saya dan apabila dibebaskan, saya tidak lagi menoleh ke belakang bagi menghabiskan baki pengajian," katanya.
Dedahnya, isteri turut menuntut fasakh ketika dia berada dalam tahanan dan perkara itu telah menambah tekanan pada dirinya.
Mohd Khairul menjadi individu pertama di Malaysia yang menjalankan kajian mengenai penggunaan dadah kokain dan turut dilaporkan dalam Laporan Global Kokain oleh United Nations Office Drugs and Crime (UNODC) Vienna pada tahun 2023.
"Jika ada rezeki saya mahu menyambung pengajian ke peringkat tertinggi. Saya sudah mula, jadi tidak mahu berhenti (belajar)," katanya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 