Pengemis Warga Asing Rancak Minta Sedekah Sepanjang Ramadan, Guna Kaedah Sindiket 3:7
Difahamkan, rata-rata adalah warga asing dari Thailand.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pengemis warga asing terutama dari Thailand dikatakan semakin rancak menagih simpati di bulan Ramadan ini
Menurut laporan Harian Metro, mereka akan dimuatkan dalam kereta beramai-ramai dan diletakkan di beberapa lokasi strategik di pusat bandar untuk mengemis sebelum dijemput semula pada waktu yang dijanjikan.
Itu merupakan modus operandi dilakukan oleh ejen sindiket yang membawa kumpulan berkenaan untuk mengemis sepanjang Ramadan.
Menurut Ketua Bahagian Penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Mohd Halimie Md Salleh, beberapa hari sebelum Ramadan, warga Thailand mula dibawa masuk menggunakan pas lawatan sosial dan akan menyewa bilik di sekitar pusat bandar.
Image via Harian Metro
"Bermula 1 Ramadan, kumpulan pengemis ini akan ditempatkan di lokasi tumpuan ramai antaranya bank, masjid serta pusat membeli-belah.
"Pendapatan yang diperoleh akan dibahagikan dengan ejen dan difahamkan menggunakan kaedah 3:7 iaitu untuk RM10 yang diperoleh, RM3 adalah milik pengemis manakala RM7 kepada ejen.
"Menjelang 15 Ramadan, semakin ramai pengemis membanjiri pusat bandar, walau sudah ditangkap beberapa kali, namun mereka masih tidak serik kembali mengemis kerana rakyat tempatan yang pemurah dan mudah berasa simpati," katanya.
Setiap kali Ramadan, ramai pengunjung mengadu terlalu ramai pengemis
Mohd Halimie berkata, operasi dijalankan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan itu adalah susulan aduan yang diterima berhubung kebanjiran pengemis terutama warga asing.
Difahamkan, setiap tahun ketika Ramadan, banyak aduan diterima mengenai pengemis terutama sekitar pusat bandar sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pengunjung.
"Untuk operasi hari ini, seramai 11 pengemis ditangkap dengan empat daripadanya adalah warga Thailand dan kita serahkan kepada JIM untuk tindakan lanjut.
"Bagi operasi puasa pula, seramai dua lelaki berusia 20-an ditahan kerana tidak berpuasa dan makan di dalam rumah kosong ketika serbuan dibuat.
"Kami juga memeriksa 25 premis perniagaan kebanyakan kedai bukan Islam dengan lima notis kompaun dikeluarkan disebabkan menjalankan operasi perniagaan sebelum jam tiga petang," katanya lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik


Cover image via 