Pencipta USB Pertama Dunia Pulang Ke Malaysia, Lancar Syarikat Teknologi Dengan Gaji Permulaan RM6,000
USB flash pertama di dunia merupakan hasil ciptaan Pua Khien Seng yang berasal dari Sekinchan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pernah dihalang membawa impian menjadikan Malaysia sebagai hab utama reka bentuk mikrocip di dunia, kini pencipta cip USB flash pertama dunia kembali menabur bakti untuk negara
Itulah yang dikongsi Penasihat Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), Nurul Izzah Anwar di laman Facebook rasminya, menceritakan bagaimana beliau dapat memujuk kembali seorang anak jati Malaysia yang juga pencipta cip USB flash pertama dunia, Pua Khien Seng, membawa pulang syarikat gergasi teknologi dunia ke Malaysia.
"Beliau mencipta cip USB flash pertama di dunia yang telah mengubah landskap penyimpanan data global. Kini syarikat beliau, Phison menguasai lebih 45% pasaran USB flash di dunia.
"Namun ramai yang tidak tahu, pada tahun 1999, Pua pernah cuba membawa visinya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab utama reka bentuk mikrocip di dunia.
"Tetapi impiannya terhalang oleh birokrasi, dasar yang terbatas, dan ekosistem yang belum matang dan bersedia. Jadi beliau memilih untuk ke Taiwan, di mana ideanya diberi peluang untuk berkembang," tulisnya.

Pua Khien Seng.
Image via Rise MalaysiaImage viaSemuanya bermula ketika Nurul Izzah berpeluang makan tengah hari bersama Pua
Menurut Izzah, walaupun sudah bergelar usahawan berjaya yang sudah membina nama di persada dunia, hatinya tetap terpaut pada Malaysia.
"Dua tahun lepas, saya berpeluang makan tengah hari bersama Pua. Pua beritahu saya, dia boleh sahaja memilih untuk melabur ke mana-mana negara lain. Tetapi, dia tetap nak kembali menabur bakti buat tanah air tercinta.
"Beliau berhasrat membawa pelaburan berjumlah RM100 juta serta pemindahan teknologi bernilai RM1 bilion bagi membolehkan Malaysia menerajui bidang reka cipta mikrocip.
"Namun, Pua meluahkan beliau masih gagal memahami mentaliti dan lanskap politik di Malaysia, Jadi, saya perlu bantu dia untuk memacu kemajuan teknologi Malaysia ke hadapan," tambahnya.

Bawa anak jati Malaysia itu berhubung dengan agensi yang relevan
Nurul Izzah turut memaklumkan telah membawa Pua bertemu individu dan pihak yang tepat di samping menghubungkannya kepada ekosistem dasar dan agensi dan kementerian yang relevan.
"Ini termasuk Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC), kerana hasrat kami adalah untuk menjadikan Selangor sebagai Lembah Silikon Malaysia.
"Ia bukan perjalanan yang mudah, tetapi akhirnya membuahkan hasil. Dua bulan lalu, Pua melancarkan MaiStorage di Malaysia, sebuah syarikat reka cipta mikrocip dan teknologi storan data canggih.
"Kami berjaya membawa pulang sebuah syarikat gergasi teknologi dunia dan seorang anak jati tempatan yang sudi melatih jurutera kita demi masa depan negara.
"Bagi mengelak lebih ramai bakat-bakat Malaysia berhijrah ke luar negara, Pua menawarkan gaji permulaan RM6,000 untuk graduan baharu, manakala gaji bagi jurutera berpengalaman pula mencecah lima angka," jelasnya.
Nurul Izzah berkata dia menganggap kisah ini melambangkan harapan bagi menjadikan Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi pencipta masa depan.
Lihat perkongsian penuh di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 