Peminat Bola Sepak Marah Tiket Tren Naik Melambung Sebab FIFA World Cup 2026
Bukan sikit dia mark up harga tu!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Penyokong bola sepak luah rasa tidak puas hati akibat kenaikan mendadak tambang pengangkutan awam menjelang Piala Dunia FIFA 2026 di Amerika Syarikat
Menerusi laporan Berita Harian, agensi pengangkutan New Jersey merancang mengenakan tambang melebihi AS$100 (RM395) untuk perjalanan dari Penn Station, Manhattan ke Stadium MetLife sepanjang kejohanan berbanding harga biasa sekitar AS$12.90 (RM51).
Di Boston, tambang pergi balik ke Stadium Gillette pula meningkat kepada AS$80 (RM316) berbanding harga asal AS$20 (RM79) sebelum ini.
Jurucakap kumpulan penyokong Perancis, Guillaume Aupretre, menyifatkan kenaikan itu sebagai keterlaluan dan disifatkan membebankan penonton.
"Ia satu penghinaan. Dalam kejohanan sebelum ini, kos pengangkutan sama ada termasuk dalam harga tiket atau ditawarkan pada kadar diskaun kepada pemegang tiket.
"Mereka terus menambah kos tanpa memikirkan penyokong, malah mengetepikan penyokong setia demi golongan berada," katanya.
Kumpulan penyokong England, Free Lions, turut meluahkan rasa kecewa mereka dengan berkata, "Satu lagi hari, satu lagi caj melampau di Piala Dunia. Apa sebenarnya yang sedang berlaku?".

Persekutuan Bolasepak Antarabansa (FIFA) digesa tanggung kos pengangkutan yang naik secara mendadak
Ketua Minoriti Senat Amerika Syarikat, Chuck Schumer menggesa FIFA untuk menanggung kos pengangkutan awam bagi kejohanan berkenaan.
"Sekurang-kurangnya FIFA perlu memastikan orang ramai tidak dikenakan caj melampau untuk ke stadium," katanya.
Gabenor New York, Kathy Hochul turut mempersoalkan kenaikan tambang terbabit yang disifatkan terlalu tinggi bagi sebuah perjalanan singkat.
Media tempatan melaporkan kos operasi pengangkutan awam bagi lapan perlawanan di New Jersey sahaja dianggarkan mencecah AS$48 juta (RM189 juta), kebanyakannya untuk keselamatan.
Kerajaan persekutuan Amerika Syarikat turut memperuntukkan kira-kira AS$100 juta (RM395) kepada bandar penganjur bagi menampung kos berkaitan.
Bagaimanapun, di Los Angeles, pihak berkuasa pengangkutan memberi jaminan tidak akan menaikkan tambang perjalanan ke Stadium SoFi sepanjang hari perlawanan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 